Siakap Keli

Kami Dah Berikan Yang Terbaik – Aidil

“Kami sudah berikan yang terbaik,” itu yang diungkapkan pemain pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, semalam

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas dengan keputusan agregat 3-2 selepas seri 2-2 Selasa lepas, dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aidil yang juga tunggak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui kecewa dengan kekalahan itu, namun menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak kejohanan dwi tahunan itu bermula.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dari awal. Ini lah bola sepak…kami sudah buat yang terbaik untuk perlawanan ini. Siapa sangka pasukan Malaysia yang tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, boleh sampai ke final.

“Pasukan sudah berikan segalanya mungkin rezeki kami hanya menduduki naib johan. Kami minta maaf kerana piala kejuaraan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia,” katanya selepas perlawanan berkenaan.

Pada aksi semalam, gol sulung Vietnam hadir menerusi Nguyen Anh Duc seawal minit keenam selepas skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan Park Hang-Seo bermula garang sejak wisel permainan ditiupkan.

Menurut Aidil, jaringan itu ternyata memberi tekanan kepada pasukan sekali gus merencatkan taktikal serta rentak permainan.

“Mungkin gol awal itu buat kita susah nak cari gol penyamaan ataupun usaha untuk mendahului. Ini adalah final, apa-apa sahaja boleh terjadi,” tambahnya.

Ini adalah kali ketiga Malaysia menamatkan kejohanan itu selaku naib johan selepas kali pertama pada edisi 1996 diikuti 2014. – BERNAMA

Nur Farra