Siakap Keli

“Kegagalan Ini Tak Seharusnya Diratapi,” Ucap Terima Kasih Pada Malaysia, Presiden FAM Minta Harimau Malaya Siap Sedia Piala Dunia 2022

Semalam menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia menentang Vietnam di final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh.

Perlawanan itu walau bagaimanapun memihak kepada pasukan Vietnam dengan keputusan agregat 3-2 selepas seri dalam perlawanan aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin telah memuat naik status memberi penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan misi aksi Final 2 Piala Suzuki AFF 2018 menentang Vietnam.

Beliau turut memberitahu bahawa kekalahan yang dihadapi tidak seharusnya diratapi namun Harimau Malaya perlu bersedia mempersiapkan pasukan untuk Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan datang.

TERIMA KASIH MALAYSIA

Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya selaku presiden ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong pasukan Malaysia dan juga Ultras Malaya yang telah sama-sama hadir ke Stadium My Dinh, Hanoi, malam ini bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

Tidak dilupakan juga, seluruh rakyat Malaysia di tanah air yang turut mendoakan kejayaan pasukan kita pada aksi Final 2 Piala Suzuki AFF 2018 menentang Vietnam ini dan setia menyokong pasukan sejak dari aksi pertama peringkat kumpulan bertemu Kemboja pada 8 November lalu biarpun Malaysia akhirnya gagal menjulang trofi kejuaraan Piala Suzuki AFF 2018 apabila menamatkan kempen selaku naib juara.

Kegagalan Malaysia pada malam ini bagaimanapun tidak seharusnya terus diratapi dan kita perlu terus memandang ke hadapan bagi mempersiapkan pasukan kebangsaan kita menghadapi pula Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula tahun depan.

Seterusnya, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Malaysian Football League (MFL) yang mana baginda telah banyak memberikan sokongan buat pasukan kebangsaan.

Ucapan terima kasih juga kepada semua pasukan negeri/kelab yang telah memberikan sumbangan dari segi pemain mereka untuk membarisi skuad 23 pemain kita ke saingan Piala Suzuki AFF 2018 ini.

Tidak dilupakan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dan kakitangan FAM yang telah memberikan sokongan pada serta kerja keras sepanjang kempen edisi kali ini dan juga terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut hadir ke Hanoi untuk bersama-sama menyokong skuad Harimau Malaya.

Tanpa kerjasama dan sumbangan semua, sudah tentu kita tidak akan dapat melangkah sejauh ini. Anda semua adalah Ekor Harimau Sejati!

Terima kasih

Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

#FAM #HarimauMalaya #AFFSuzukiCup18

Nur Farra