Siakap Keli

AAM Motorsport Tubuh Jawatan Kuasa Siasat Kematian Pelumba Cub Prix, Mohd Hafiz

AAM Motorsports Sdn Bhd (AAM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan selepas menerima semua dokumen berkaitan insiden yang mengorbankan pelumba kelas CP150, Mohd Hafiz Nor Azman, semasa pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengerusi AAM Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha berkata jawatankuasa berkenaan akan ditubuhkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kita amat sedih menerima berita pemergian pelumba, Mohd Hafiz semasa pusingan akhir kelas CP150. Litar itu telah diperiksa Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Jumaat (14 Dis) bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghadang berada di tempat sepatutnya untuk perlumbaan,” katanya.

“Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Mohd Hafiz,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah ketika dihubungi Bernama, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada 6.30 petang tadi.

Beliau, bagaimanapun berkata butiran lanjut mengenai kemalangan itu tidak diperoleh.

Mohd Hafiz, 22, adalah anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Nor Azman Mad Darus.

Pada tahun ini, Mohd Hafiz mewakili Petronas Racing Team-CKJ untuk bersaing dalam kategori CP150.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham berikutan kemalangan yang menimpa pelumba berkenaan. -BERNAMA

Nur Farra