Siakap Keli

CIMB Clicks Selamat Digunakan, Pengguna Dinasihat Tukar Kata Laluan Yang Lebih ‘Kuat’

Sebelum ini, tular di laman sosial dakwaan dari pengguna Cimb Clicks yang wang pengguna hilang dan akaun mereka telah diceroboh oleh pihak lain.

Berita itu membuatkan ramai pengguna Cimb Clicks diluar sana rasa risau dengan perkembangan semasa ini membuatkan ada mereka yang mengeluarkan wang dan ada juga risau gaji mereka yang bakal masuk hilang.

CIMB Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menegaskan segala transaksi melalui Cimb Clicks adalah selamat dan dilindungi.

Mereka dalam pada itu menasihatkan pengguna Cimb Clicks agar menukar kata laluan lebih dari lapan huruf dengan kombinasi huruf kecil, besar dan angka untuk meningkatkan tahap keselamatan akaun pengguna dimana kata laluan sehingga 20 aksara sudah boleh dimasukkan.

Selain itu, ramai yang salah anggap kewujudan kolum biru atau reCaptcha sebagai tanda-tanda akaun cuba digodam, sebenarnya Captcha itu telah ditambah oleh pihak Cimb sebagai tambahan keselamatan memastikan pengguna yang cuba masuk itu bukanlah robot.

Sebelum ini tular pelbagai kisah di media sosial mendakwa ramai pengguna Cimb hilang wang simpanan mereka,  ada diantara mereka yang mendakwa akaun boleh diakses walaupun menggunakan kata laluan yang salah.  Menurut komen yang dibalas oleh pihak CIMB Malaysia sendiri, kesulitan yang dialami adalah disebabkan penyelenggaraan berskala yang terpaksa menyekat akses pengguna bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

Pihak CIMB Malaysia melalui maklum balas di komen turut menasihatkan pengguna untuk mengosongkan ‘cache history’ pada ‘internet browser’ dan cuba log semula akaun CIMB bagi mereka yang mengalami masalah menetap semula kata laluan.

Selain itu, ada diantara pengguna yang takut ingin melakukan transaksi atau salah faham dengan ‘reCAPTCHA’ dan mendakwa selepas mengikut arahan tersebut, duit didalam akaun ditolak.

Dakwaan itu walau bagaimanapun dibalas pihak CIMB dengan menasihati pengguna untuk menggunakan arahan reCAPTCHA untuk akses ke dalam akaun. Selain itu, pengguna turut dinasihati supaya berhati-hati dan mengabaikan sebarang SMS penipuan yang membuatkan mereka terpaksa mendedahkan maklumat peribadi kepada pemanggil yang mencurigakan.

CIMB turut menekankan bahawa pihak mereka tidak akan meminta maklumat peribadi atau kewangan pengguna dan tidak akan ada kakitangan atau wakil CIMB meminta sesiapa sahaja untuk memindahkan wang kepada mana-mana akaun pihak ketiga.

Pengguna diminta untuk menghubungi pihak CIMB ke nombor telefon rasmi 03-6204 7788 apabila menghadapi sebarang keraguan dan memerlukan penjelasan  untuk masalah pengaksesan akaun.

Sumber: CIMB Malaysia

Nur Farra