Siakap Keli

“Harga Nyawa Tidak Boleh Dipandang Ringan” – Mufti Perlis

Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan di kuil bulan lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham pada asalnya dirawat di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya sebelum dipindahkan ke IJN.

Sehubungan perkara ini, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui Facebook miliknya menggesa pihak berkuasa untuk membawa suspek sehingga menyebabkan kematian Muhammad Adib.

إنا لله وإنا إليه راجعون
Semoga dia ditempatkan dalam kalangan syuhada. Takziah buat keluarga beliau.

Dia telah terkorban semasa bertugas demi negara hasil dari perbuatan kumpulan pengganas. Pihak berkuasa hendaklah segera membawa kumpulan pengganas tersebut ke pengadilan dan menerima hukuman yang wajar. Harga nyawa tidak boleh dipandang ringan.

Pembunuh mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan. Jika tidak, rosaklah keseimbangan keadilan dalam hidup ini.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 179:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
maksudnya : “Dan bagi kamu hukuman Qisas (bunuh balas itu) kehidupan wahai golongan Ulul Albab, mudah-mudahan kamu bertakwa”.

Jika pembunuh beliau tidak diheret ke muka pengadilan, maka tiada apa lagi yang puak pengganas dan pelampau itu akan akur terhadap undang-undang dalam negara ini.

Nur Farra