Siakap Keli

Padah Curi Kasut RM100 Di Masjid, Pengawal Keselamatan Didenda RM1000

Petaling Jaya : Akibat mencuri sepasang kasut di masjid, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Unazri Mohamad, 36, selepas dia mengaku bersalah mencuri sepasang kasut jenama ‘K2 Safety’ milik Mohd Mokhtar Saad, 32, yang berharga  RM100.

Mengikut fakta kes, Mohd Mokhtar yang ketika itu baharu selesai menunaikan solat telah keluar dari masjid dan terus mencari kasutnya untuk dipakai namun tidak berjumpa sebelum melihat tertuduh sedang memakai kasutnya di perkarangan masjid itu.

Tertuduh kemudian telah bertindak melarikan diri sebelum dikejar pengadu yang akhirnya menelefon pihak polis untuk menangkap lelaki itu.

Bapa tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid As Syakirin, Taman Puchong Utama, Puchong, di sini, pada 4.40 petang, 14 Dis lalu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ng Kee Way merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja  selain kasut yang diambilnya telah dipulangkan kepada pengadu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.