Siakap Keli

(Video)Hidup Mewah Menjadi Pengemis Digital, Lelaki Ini Raih Pendapatan Lebih 4 Ribu Dolar Sebulan

Lelaki ini mempunyai cara tersendiri untuk hidup mewah, caranya adalah dengan mengemis secara atas talian dan meraih pendapatan sehingga USD 4000 sebulan (RM 16,710).

Jovan Hill, 25, meraih pendapatan setinggi itu hanya dengan memuat naik video atau bersiaran langsung di atas talian menggunakan pelbagai akaun media sosial yang dimilikinya. Apa yang dilakukannya adalah memohon lebih daripada 200 ribu pengikutnya untuk menyumbang dana bagi menampung gaya hidup mewah tersebut.

Antara platform-platform media sosial yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jovan termasuklah Youtube, Twitter, Periscope dan Telegram.

Melalui beberapa video yang rata-rata berdurasi lebih daripada 7 minit, Jovan seringkali menganggap dirinya sebagai orang miskin yang baru berpindah ke Los Angeles.

”Saya sangat miskin sekarang. Jadi, jika anda mahukan potongan cukai, silalah menderma ke Tabung Amal Jovan,” satu kenyataan yang sering diulang-ulang olehnya, sekurang-kurang tiga kali sehari melalui video yang dimuat naik.

Semua video Jovan dirakam menggunakan telefon pintar mewah, Iphone dan Jovan akan bercakap banyak perkara, antaranya mengenai perubahan cuaca, berita tergampar atau menceritakan kisah hidupnya. Dalam setiap tema yang dibawanya, Jovan akan menyelit pesanan yang meminta orang memberi sumbangan.

Menurut Jovan, semua dana yang diperoleh setiap bulan dibelanjakan untuk membayar sewa apartment di Brooklyn, membeli pakaian bernama selain turut dibelanjakan untuk membeli ganja, permainan video dan diberikan kepada ibunya.

Kata Jovan, bagi menarik perhatian para penyumbang, dia akan mendedahkan nama para penyumbang di akaun media sosialnya sebagai penghargaan selain sebagai galakkan kepada penderma seterusnya.

Ketika ditemu ramah oleh The Times, Jovan mendedahkan dia mula menyedari bahawa netizen kebanyakkan bersikap pemurah setelah berjaya mengumpul dana melebihi jumlah yang diperlukan untuk neneknya melalui aplikasi Tumblr.

”Itulah kali pertama saya menyedari bahawa rakan di media sosial sebenarnya mengambil berat mengenai saya,” katanya yang pernah bekerja sebagai buruh selepas gagal menamatkan pengajian, namun berhenti setelah menyedari aktiviti mengemis di atas talian memberi keuntungan yang lebih besar.

”Saya meraih pendapatan yang lebih rendah ketika menjadi buruh berbanding duduk di bilik dan memuat naik video. Jadi, kenapa saya perlu bekerja?” katanya.

Selain Jovan, ribuan lagi warga Amerika Syarikat ketika ini meluangkan masa menjadi pembekal video dan rata-rata memperoleh pendapatn yang lumayan.

Ujar Jovan yang pernah ditanya oleh penderma kenapa dia tidak bekerja, dia sekadar menjawab, ”Inilah pekerjaan saya”.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.