Siakap Keli

Kutip Derma Di Masjid Secara Haram, Denda RM1,500 Dikenakan

Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 kepada seorang warga Myanmar kerana mengutip derma secara haram di kawasan sebuah masjid Kampung Tunku di sini dua minggu lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Halimah Mohd Yunus, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di kawasan Masjid Ar-Rahman, di No 7, Jalan SS1/31, Kampung Tunku, Sungei Way, di sini, pada 1.10 petang, 7 Dis lalu.​​​​​​​

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.​​​​​​​​​​​​​

Mengikut pertuduhan, Halimah seorang pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) didakwa menjalankan kutipan derma tanpa kebenaran yang sah di kawasan masjid tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah Ke Rumah dan di Jalan 1947 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.​​​​​​​​​​​​​​

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, bagaimanapun wanita itu yang tidak diwakili peguam  hanya memohon untuk pulang ke rumahnya di Ampang.

— BERNAMA

Nur Farra