Siakap Keli

Purata 300 Orang Lemas Setiap Tahun Seluruh Negara – Bomba

Purata 300 kes kematian akibat lemas direkodkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat setiap tahun di seluruh negara, kata Ketua Cawangan Pusat Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pauzan Ahmad.​​​​​​

Beliau berkata kes kematian akibat lemas dua kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat kebakaran di negara ini.

“Apa yang saya lihat apabila sesuatu kawasan itu ditimpa banjir, ramai kanak-kanak akan bermandi-manda manakala kaki pancing pula suka memacing tanpa sebarang pengawasan. Tidak salah untuk bermandi-manda atau memancing tetapi perlu ada pengawasan,” katanya ketika ditemui sumber di sini, hari ini.

​​​​​​​Pauzan juga ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat aktiviti riadah berdekatan sungai pada musim tengkujuh kerana paras air yang meningkat.​​​​​​​

Katanya  statistik JBPM bagi tempoh Oktober sehingga Disember ini merekodkan tiga kematian akibat lemas termasuk seorang guru di Setiu, Terengganu pada 13 Dis lepas.​​​​​​​

Pauzan berkata, JBPM telah merangka pelan kontigensi banjir sebagai persediaan menghadapi Monson Timur Laut bermula awal November hingga Mac tahun hadapan.

Menurutnya pelan kontigensi berkenaan  bertujuan menyelaras agensi terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi serta Jabatan Kerja Raya  untuk tindakan semasa banjir.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.