Siakap Keli

(Video) Kerana Kemiskinan Hidup, Kanak-Kanak Ini Bina Basikal Dari Buluh Untuk Berseronok

Ketika kecil, apakah hadiah yang selalu anda mahu daripada ibu ataupun ayah setiap kali anda menyambut hari jadi?

Ada yang mahukan permainan video, telefon bimbit ataupun anda seperti kami, suatu ketika dahulu mahukan sebuah basikal supaya dapat keluar beriadah bersama-sama rakan zaman kanak-kanak yang lain setiap petang.

Impian setiap kanak-kanak mungkin sama sahaja tidak kira di bahagian mana dunia mereka tinggal. Tetapi, bukan semuanya mempunyai nasib yang baik atau lahir daripada keluarga yang berkemampuan.

Seperti sekumpulan kanak-kanak berasal daripada Uraso, Sulawesi Selatan di Indonesia ini, mereka terpaksa memanfaatkan sumber alam bagi mendapatkan sebuah basikal. Lebih tepat lagi, untuk menghasilkan sebuah basikal.

”Kerana saya tidak mampu untuk membeli sepeda (basikal)” kata salah seorang daripada mereka kepada BBC Indonesia ketika ditanya alasan mereka menghasilkan basikal sendiri.

Dengan hanya menggunakan sumber yang ada, seperti buluh dan kayu, kanak-kanak sungguh kreatif dan berjaya sebuah kenderaan menyerupai basikal dikenali sebagai ‘pattung’. Lebih menarik, semuanya dihasilkan tanpa bantuan orang dewasa.

Rekaan basikalnya juga ringkas. Ada rangka utama, tempat pemegang dan dua roda serta tiada tepat duduk. Basikal ini juga tidak memerlukan rantai dan tiada tempat pengayuh. Tinggal di kawasan bergunung, kanak-kanak ini hanya memanfaatkan daya graviti untuk menggerakkan basikal ciptaan mereka.

Bukan sahaja digunakan untuk beriadah, malah ada kanak-kanak ini menggunakan basikal yang dihasilkan sendiri ini sebagai kenderaan untuk ke sekolah. Apabila tiba di sekolah, basikal-basikal ini dipamerkan bersama-sama basikal hasil rekaan kanak-kanak yang lain.

Malah, aktiviti reka cipta kanak-kanak ini turut menerima dokongan daripada guru-guru di sekolah.

”Dari segi kretiviti para pelajar, itu sangat membantu kemahiran daya ciptanya. Menghasilkan produk baru yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian,” kata salah seorang guru, Ujuh Ilham Samak.

Harapan kanak-kanak cuma satu, seperti dirakam oleh lensa kamera BBC Indonesia itu,

”Kami mahu hadiah sebuah basikal, seperti kanak-kanak lain daripada Presiden, Joko Widodo.”

Sumber: BBC Indonesia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.