Siakap Keli

Pemuda Amanah Tawar Nasihat Undang-Undang Percuma Kepada Adib

Kuala Lumpur : Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia menawarkan khidmat nasihat undang-undang percuma kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lepas.

Naib Ketuanya Wan Anwar Wan Ibrahim berkata khidmat itu akan diberikan menerusi Biro Undang-Undang Amanah (KANUN) kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi proses perundangan yang mungkin diambil pihak berkuasa ke atas mereka yang bertanggungjawab.

“KANUN mempunyai peguam yang agak ramai untuk beri nasihat guaman secara percuma kepada keluarga Allahyarham sekiranya perlu dalam menghadapi proses perundangan yang mendatang,” katanya kepada sumber di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Anwar juga menggesa pendakwaan berhubung kes itu disegerakan setelah proses siasatan selesai untuk meredakan keresahan rakyat dan memberi keadilan kepada keluarga Allahyarham.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41, Isnin malam, selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar  kira-kira 1.45 tengah hari, Selasa.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.