Siakap Keli
Gambar : Bernama

Tiada Pihak Terjejas Tabung Haji Diletak Di Bawah Negara – Timbalan Menteri Kewangan

Tiada pihak yang akan terjejas dengan keputusan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi menambah baik pengurusan kewangan dan pelaburan organisasi berkenaan dan melibatkan pengurusan jemaah haji yang dikendalikan TH.

“Bila kita sebut Tabung Haji (TH) diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia ( BNM) ramai yang bimbang kerana kononnya ia akan dikawal oleh menteri bukan Islam (Menteri Kewangan Lim Guan Eng).

“Saya minta cukuplah mainkan isu itu kerana menteri berkenaan ada seribu satu kerja lain, Amiruddin tak dak ka kat situ, awat Amiruddin nak tengok saja kah,” katanya kepada sumber pada Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Baling di sini, hari ini.​​​​​​​

Amiruddin berkata demikian bagi mengulas dakwaan setengah pihak yang bimbang dengan keputusan kerajaan meletakkan TH  di bawah Bank Negara yang dikawal selia Kementerian Kewangan yang diterajui Lim.

Amiruddin menjelaskan, tindakan tersebut juga bagi memastikan urusan tadbir urus TH berjalan dengan telus yang seterusnya akan memanfaatkan semua 9.2 juta pendeposit.

“Kita lakukan perkara itu bagi memastikan keuntungan TH dapat digunakan untuk memberi subsidi haji kepada jemaah di mana kos bagi mengerjakan haji kini makin meningkat dan sebahagian keuntungan diberikan sebagai hibah,” katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata kerajaan akan melaksanakan penetapan harga lantai getah iaitu pada paras RM2.50 sekilogram mulai Januari depan bagi mengurangkan kesan kejatuhan harga komoditi itu kepada pekebun kecil.

“Kita harapkan penoreh dapat menoreh dan membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet 2019 di mana setakat ini hanya 30 peratus penoreh  membuat tuntutan IPG dan selebihnya tidak berbuat demikian kerana harga getah yang rendah dan ramai tidak berminat menoreh,” katanya.

Pada program itu seramai 300 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Kuala Ketil dan Bayu menerima sumbangan berupa dua set pakaian dan kasut sekolah.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.