Siakap Keli

“Encik, Kami Minta Maaf Pasal Bomba Adib,” Terharu Bomba Bahayakan Diri Dalam Api Selamatkan Saudaranya, Warga Emas Mohon Maaf Insiden Rusuhan Kuil

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pemergian Muhammad Adib ternyata ditangisi ramai. Bukan sahaja ahli keluarga dan rakan-rakan, seluruh rakyat Malaysia turut merasa berduka dengan apa yang telah menimpa wira negara itu sehingga mengorbankan nyawanya dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Realiti kehidupan seorang pegawai bomba sentiasa meletakkan diri mereka dalam situasi yang berisiko.  Tidak hanya semata-mata menyarung uniform celoreng jingga sambil memadam api, tetapi hakikatnya tugas mereka lebih daripada itu.

Terbaru melalui Facebook Friends of Bomba Malaysia, kebakaran berlaku melibatkan warga emas berbangsa India sehingga hampir meranapkan keseluruhan rumahnya.

Terharu dengan tindakan pantas para bomba menyelamatkan nyawa saudara perempuannya, warga emas tersebut meminta maaf atas apa yang terjadi terhadap arwah Adib.

“Encik, kami minta maaf pasal bomba Adib, kami minta maaf!” Rayu seorang makcik India sambil menangis teresak-esak.

Beliau begitu tersentuh melihat kesungguhan dan keikhlasan pasukan bomba yang bekerja keras memadam kebakaran yang hampir meranapkan rumahnya.

Lebih meruntun hati beliau apabila menyaksikan sendiri anggota bomba sanggup membahayakan nyawa masuk ke dalam rumah yang sedang marak dimamah api semata-mata untuk menyelamatkan saudara perempuannya, seorang warga emas kurang upaya.

Semakin lama, tangisan beliau makin kuat dan mengharukan. Jiran-jiran yang berkerumun di situ turut merasa tempias emosi kesedihannya.

Riak wajahnya jelas menggambarkan kekesalan di atas apa yang telah berlaku.

“Takpe akak, jangan sedih. Akak tak bersalah dalam hal ni!” Pujuk anggota bomba menenangkan keadaan.

Nyatalah keikhlasan dan ketulusan budi bisa mematahkan dan menghancur luluhkan sebuah keegoan dan kebencian.

Kasih sayang mula berputik dan mahabbah pun berbunga.

Teruskan berbakti sahabatku, biar jasa jadi kenangan.

#abambomba
#runtunjiwa

Sumber: Friends of Bomba Malaysia

Nur Farra