Siakap Keli

(Video)Polis Acheh Bakar Ganja Hampir 800 KG Dan Syabu, Orang Ramai Jadi Saksi Proses Pelupusan

Polis tempatan di Acheh bertindak membakar ratusan kilogram (kg) ganja dan sabu disita sepanjang 2018 secara terbuka disaksikan oleh orang ramai dan media, ketika kerajaan junta Thailand pada baru-baru ini membenarkan penggunaan ganja perubatan dalam kalangan penduduknya.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh beberapa orang kenamaan tempatan antaranya Wakil Ketua DPR Aceh, Sulaiman Abda; Rektor Universiti Syiah Kuala, Prof Samsul Rizal; pejabat Badan Narkotika Nasional Provinsi (BNNP) Aceh dan beberapa tetamu undangan yang lain.

Menurut laporan akhbar tempatan, Berita Kini, ganja seberat 795 kg dan syabu seberat 18 kg dihapuskan melalui proses pembakaran dan juga dikisar.

Selain dadah berbahaya, turut dihapuskan dalam proses yang sama adalah barang-barang bukti yang diserahkan oleh pihak penguasa yang lain serta syarikat penghantaran.

”Barang-barang bukti yang dihapuskan adalah kerana kes sudahpun berjaya diselesaikan,” kata jurucakap Polis Acheh, Irjen Pol Rio S Djambak.

Ujarnya lagi, sepanjang tahun 2018 sehingga November, terdapat sebanyak 1,600 kes berkaitan dengan dadah melibatkan seramai 2,213 pesalah sudah berjaya diselesaikan pihak berkuasa.

Daripada jumlah kes tersebut, polis merampas sebanyak 5,247 kg ganja, 58 kg syabu, 5,685 butir pil ekstasi dan telah pun memusnahkan kawasan penanaman ganja seluas 20.5 hektar.

Kata Rio lagi, jumlah kes membabitkan dadah yang begitu tinggi di Acheh membuktikan bahawa masalah dadah adalah serius dan pihak polis memerlukan bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi menangani perkara tersebut.

”Polis tidak mampu bekerja sendirian, kami memerlukan sokongan orang awam dan pelbagai pihak yang berkaitan,” katanya.

Acheh merupakan sebuah kerajaan tempatan di Indonesia yang menjalankan perundangan syariah yang ketat. Pelbagai jenayah seperti zina, judi, minum arak dan dadah adalah satu jenayah serius dan amat dilarang. Malah, hukuman sebat juga seringkali dijalankan dikhalayak umum sebagai pengajaran untuk orang ramai.

Video dibawah menujukkan proses memusnahkan ganja seberat 11 tan yang dijalankan pada tahun 2015 di Acheh.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=zjqoFr13SvI]

 

Sumber: Berita Kini

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.