Siakap Keli

‘Kesian, Dia Pun Mesti Teringin Macam Saya Juga’, Biar Keluarganya Susah Tetapi Dia Miliki Hati Yang Mulia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tiada sesiapa pun yang lahir ke dunia ini mahu hiduo susah, mempunyai keluarga bermasalah ataupun menjadi ‘lain dari yang lain. Tetapi apa yang berlaku kepada seorang pelajar seperti Cik Natipah Abu ini wajar menjadi pengajaran kepada semua.

Ujar Cik Natipah, pelajar tersebut datang daripada keluarga yang bermasalah di mana ibu bapanya sudah bercerai dan sebelum dijaga di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam tempoh berkenaan, kanak-kanak lelaki tersebut seolah-olah berada dalam dunianya sendiri selain tidak tahu menguruskan diri. Namun, seiring dengan peredaran masa pelajar tersebut mula menunjukkan perubahan dan berlaku satu peristiwa dimana Cik Natipah sendiri amat tersentuh hati dan tidak dapat melupakannya.

Nak tahu peristiwa apa yang terjadi? Jom baca perkongsiannya dibawah.

DARI KAMAR HATI

Melihat dia sedang makan dengan penuh selera sebungkus mee goreng dengan beberapa ekor udang besar tergolek di atas mee, rasa sebak sungguh.

Di dalam hati tertanya sendiri,  apalah agaknya yang dimakan oleh dia selama cuti sekolah ketika berada di rumah bersama ibu.

“Kenapa tak gunting rambut sebelum balik asrama? Panjang tu.”

“Mak kata, tak dak duit.”

Allahuakbar, terpukul sekali dengan jawapannya. Sayu sungguh terasa hati. Anak-anak yang lain semuanya rambut sudah dipotong rapi oleh waris sebelum kembali ke asrama.

“Tak apa lah, nanti kita pergi kedai gunting, naa“

Dia mengganguk sambil tersenyum. Tangannya terus menyuap mee goreng dengan tangan ke mulut. Ada sudu plastik disediakan penjual tetapi dia mungkin tidak selesa menggunakannya.

Tiba- tiba, seekor kucing datang menghampirinya. Tidak pula mengiau hanya duduk di depannya dan memerhatikan saja dia makan.

Mee sudah habis, tinggallah beberapa ekor udang yang mungkin sengaja dia simpan untuk makan di penghujung. Mungkin lebih sedap jika dimakan tanpa mee atau mungkin juga dia sayang hendak menghabiskan udang itu kerana tidak mampu dibeli ibu.

Ekor dan kepala udang yang diceraikan dari isi diletakkan di atas bungkusan mee. Tinggallah isi udang semata dan dia terus meletakkan isi udang tadi di atas lantai, di hadapan kucing tersebut.

Kucing itu pun terus menerpa , menjilat dan akhirnya makan isi udang yang sememangnya diletakkan untuknya.

“Ehhh, kenapa bagi dia isi udang ? Bagilah kepala dengan ekor udang tu”

“Tak apalah, kesian dia. Dia pun mesti teringin macam saya juga!”

Dia senyum. Kak Pah kehilangan kata-kata. Tangannya terus mengopek udang yang ada. Seekor untuk dia seekor untuk kucing. Begitulah silih berganti sehingga habis. Di dalam hati Kak Pah berbisik sendiri,

“Mulianya hatimu wahai anak “

Merenung raut wajahnya seakan baru tersedar pantasnya masa berlalu. Rupanya dia sudah pun semakin dewasa.

Maka terkenanglah satu masa lalu, dia dirujuk kepada kami oleh JKM atas masalah keciciran sekolah. Ibunya seorang ibu tunggal yang berpisah dengan suami. Mereka dua beranak hidup di rumah yang serba dhaif.

Memungut bahan kitar semula yang dibuang orang di dalam tong sampah. Yaaa, dalam usia yang mentah, dia sudah menyelongkar tong sampah dan memungut sisa sampah.

Permulaan menerima dia adalah frasa yang sangat mencabar bagi kami. Dia tidak seperti anak-anak lain yang sebaya.

Dia kerap “membuang“ di dalam seluar, kadang-kadang kecil , kadang-kadang besar. Bila itu terjadi dia akan melondeh dan meninggalkan seluar di tempat yang tersorok, jauh dari pandangan orang seperti di tepi longkang atau di belakang bangunan asrama.

Kadang-kadang dia ke sekolah dengan keadaan seluar yang berbau hancing. Pernah juga dia membuang di dalam seluar ketika di sekolah.

Selalu saja dia bergaduh dengan rakan-rakan sebaya samada di asrama atau di sekolah. Penyelia dihubungi pihak sekolah melaporkan tentang dia, adalah perkara biasa bagi kami sehingga satu ketika kami pernah terlintas hendak mengembalikan dia kepada ibunya semula.

Tambahan pula, sejak menghantar dia kepada kami ibu tidak pernah datang menjenguk sehingga berbulan-bulan lamanya.

Dua bulan selepas dia bersama kami, kami menerima khabar sedih yang ayahnya akhirnya meninggal dunia di dalam tidur setelah lama terlantar akibat kencing manis. Kami pun membawa dia pulang menziarahi jenazah ayahnya.

“Kenapa ayah tidur lama sangat tak bangun-bangun?”

Soalan dia buat kami sungguh sayu. Sepatutnya dalam usia seperti dia sudah tahu tentang apa itu kematian. Tetapi dia masih seakan tidak mengerti apa-apa.

Sejak itu, perasaan simpati dan kasih kami kepada dia semakin menebal. Apatahlagi, dia sudah bergelar anak yatim. Dia telah menjadi amanah yang sangat besar buat kami.

Tidak tergamak lagi rasanya hendak mengembalikan dia kepada ibunya. Apatahlagi dalam keadaan ibu yang seolah tidak pernah merindui dia padahal dia selalu saja bertanya tentang ibu.

Akhirnya, selepas 4 bulan dia bersama kami, kelibat ibu muncul di asrama setelah kami menghantar sukarelawan menjejak ibunya. Kata dua kami, kami memerlukan kerjasama ibunya membantu kami mendidik dia atau jika enggan, kami pulangkan dia!

Kami berazam untuk menjaga dan mendidik dia sebaik mungkin. Biarlah, walaupan kami terpaksa pakaikan dia lampin pakai buang.

Kalau kami keluar ke mana-mana, akan ada seseorang yang ditugaskan khas menjaga dia. Begitu juga jika ada acara rasmi di asrama. Dan kami akan pakaikan dia lampin pakai buang.

Bukan saja kami bimbang dia akan membuang di dalam seluar, bimbang juga jika dia mengamuk bila diusik rakan sebaya.

Kalau ada sesuatu yang tidak kena di hatinya, dia akan bertindak di luar kawalan. Pernah beberapa buah pasu bunga asrama pecah berderai dihempasnya .

Justeru itu, jika ada acara rasmi di asrama, dia akan dipakaikan lampin pakai buang dan dia akan duduk di sebelah Kak Pah supaya tidak diganggu kawan-kawan.

Kini masa berlalu. Dia semakin dewasa, Alhamdulillah berkat kesabaran dan kerjasama pentadbiran dan anak-anak yang menghuni di asrama ini, dia telah jauh berubah. Sedikit sebanyak, dia sudah boleh mengurus diri. Tidak lagi memerlukan perhatian dan penjagaan seperti dulu.

Kami tidak mengharap banyak dari dia. Setakat hari ini, kami sudah bersyukur sangat dengan perkembangan dia apatah lagi, dia berada di aliran pendidikan khas.

Semoga dia terus membesar dengan limpahan kasih sayang dari kami semua agar dia dapat menjalani masa depan dengan seadanya seperti rakan sebaya yang lain.

Sesungguhnya, kasih sayang adalah satu-satunya harta yang kami ada untuk anak-anak yang senasib dengannya di sini. Soal rezeki, kami percaya anda di luar sana selalu ada untuk kami , InshaAllah.

Sumber: Natipah Abu

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.