Siakap Keli

(Video)Hebat, China Jadi Negara Pertama Berjaya Daratkan Prob Pada Bahagian Gelap Bulan

China melalui agensi angkasa lepasnya mengumumkan kejayaan pesawat angkasa milik negara tersebut yang mendarat pada bahagian gelap Bulan, buat kali pertama.

Penjelajah bulan tersebut yang diberi nama Chang’e 4 dilapor berjaya mendarat pada bahagian yang sangat jarang diteroka itu pada pukul 10.26 pagi waktu tempatan. Chang’e 4 juga berjaya mengambil gambar pertama mengenai keadaan sebenar pada bahagian belakang Bulan sebelum menghantarnya kembali ke Bumi.

Kerajaan China sebelum ini melabur dana bernilai berbilion dolar dalam program angkasa lepas yang dikawal selia oleh bahagian ketenteraan negara tersebut dalam usahanya untuk menyaingi pencapaian yang diraih oleh Amerika Syarikat untuk beberapa dekad. China juga mahu menghantar angkasawan ke Bulan pada 2022.

Bahagian gelap Bulan tidak mengadap ke arah Bumi dan sangat jarang diteroka. Tidak seperti permukaan yang bercahaya apabila dilihat daripada Bumi pada waktu malam, keadaannya lebih berbukit dan sangat berbeza.

Chang’e 4 yang dinamakan bersempena Dewi Bulan dalam mithologi bangsa China dilancarkan ke angkasa pada Disember tahun lepas daripada Tapak pelancaran Roket Xichang. Ia merupakan probe penjelajah Bulan kedua yang dilancarkan oleh Pentadbiran Angkasa Lepas China. Sebelum ini, Yutu menjadi probe pertama yang dilancarkan pada 2013.

Terdahulu China dilapor enggan mendedahkan tarikh sebenar pesawat berkenaan akan mendarat pada bahagian gelap Bulan menjadikan pengumuman terkini tersebut ketika menyambut tahun baru mengejutkan komuniti sains dunia.

Melalui satu kemas kini di laman twitter, Chang’e 4 apabila mendarat akan memulakan perjalanan di atas Bulan dan menuju ke Kawah Von Karman yang terleyak di bahagian Kutub Selatan Bulan. Kawah Von Karman merupakan kawah terbesar yang wujud di dalam sistem solar, setakat yang diketahui, mempunyai luas merentasi jarak 24 ribu kilometer dan sedalam 12 ribu meter.

Kejayaan China dalah sangat penting dalam komuniti sains angkasa lepas memandangkan tiada pesawat pernah mendarat pada bahagian gelap Bulan biarpun banyak pesawat-pesawat angkasa pernah dihantar dan terbang melintasi kawasan tersebut.

Antara misi-misi yang bakal dilaksanakan oleh Chang’e 4 adalah pemerhatian angkasa, memantau tebing-tebing di Bulan, mengkaji dan menganalisis kandungan mineral, serta mengukur kandungan radiasi pada bahagian gelap Bulan untuk memahami lebih lanjut persekitaran bahagian tersebut.

Menjelang penghujung tahun depan, China mempunyai perancangan untuk membina sebuah stesen angkasa lepas miliknya sendiri bagi membolehkan angkasawan menjalankan eksperimen di angkasa lepas.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=YLoA_nofE0U]

 

Sumber: Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.