Siakap Keli

Fenomena Ribut Tropika Pabuk, Aktiviti Sukan Air Pulau Langkawi Dihentikan – Angkatan Pertahanan Awam

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini telah mengeluarkan arahan agar semua aktiviti sukan air di kawasan pantai Pulau Langkawi dihentikan berkuat kuasa serta merta berikutan pulau peranginan tersebut dijangka menerima tempias ribut tropika Pabuk, mulai esok.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Leftenan (PA) Azam Shah Apearal berkata arahan tersebut dikeluarkan pada pukul 11 pagi tadi selepas mendapati keadaan angin kencang berlaku di Pantai Chenang dan Pantai Tengah yang mencecah kelajuan sehingga 22 kilometer (km) sejam.

“Keadaan angin laju itu boleh menyebabkan berlaku risiko sekiranya aktiviti sukan air seperti jet ski dan parasailing diteruskan dan sebab itu kita telah menaikkan bendera merah di menara penyelamat pantai di dua pantai terbabit.

“Bagaimanapun, sekiranya ada pelancong ingin berada di persisiran pantai kita benarkan selain turut menempatkan anggota APM di menara penyelamat pantai,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan bahawa ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam dengan merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Pengarah APM Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob pagi tadi dilaporkan berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, Pulau Langkawi dijangka menerima tempias ribut tropika itu bermula pukul 2 petang, esok.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata APM Kedah telah mengarahkan lebih 300 anggotanya untuk bersiap siaga di kawasan yang mungkin dilanda ribut termasuk di pantai-pantai di Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Muda.

“Seramai 50 anggota telah bersedia di Langkawi manakala 250 lagi anggota ditempatkan di sekitar kawasan pantai di Kuala Kedah dan Kuala Muda. Anggota-anggota ini ditempatkan bagi memantau dan memberi amaran kepada pelancong supaya jangan menghampiri kawasan pantai.

“Dari segi persediaan aset logistik pula, kita telah menyediakan bot dan lori lima tan sekiranya perlu dan kira-kira 1,000 sukarelawan APM juga akan ditambah sekiranya keadaan teruk di kawasan yang dijangka terkena tempias akibat ribut tropika itu,” katanya.

Saifuddin berkata kesan ribut itu dijangka menyebabkan pokok tumbang, angin kencang dan banjir kilat yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

— BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Editor: Nur Farra

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di