Siakap Keli

Ribut Pabuk, Petronas Aktifkan Pasukan Kecemasan

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengaktifkan  Pasukan  Respons Kecemasannya berikutan kemudahan aset  luar pesisir syarikat itu di Semenanjung Malaysia dilanda ombak yang tinggi dan angin kencang  ekoran ribut tropika Pabuk.

Ia berkata keadaan adalah terkawal dan kesemua kakitangannya adalah selamat.

“Keutamaan Petronas adalah keselamatan kesemua kakitangan.  Kami sedang berhubung  dengan  pihak berkuasa berkaitan dan memantau rapi keadaan ini, “ katanya dalam satu kenyataan.

Klip video menggambarkan situasi angin kencang disertai ombak besar akibat ribut tropika Pabuk melanda sebuah pelantar minyak di perairan Terengganu tular di media sosial sejak semalam.

Situasi yang mencemaskan itu juga dikatakan menyebabkan beberapa pekerja pelantar yang dijadualkan pulang ke darat hari ini terkandas di pelantar tersebut.

Situasi yang mencemaskan itu juga dikatakan menyebabkan beberapa pekerja pelantar yang dijadualkan pulang ke darat hari ini tidak dapat berbuat demikian.

Seorang pekerja pelantar berdekatan yang hanya ingin dikenali sebagai Amir ketika dihubungi Bernama berkata keadaan di sekitar kawasan pelantar agak membimbangkan berikutan angin kencang dipercayai dalam kelajuan 50 knot sejam menyebabkan kawasan itu bergoncang.

“Ini pengalaman pertama kejadian sebegini dialami sejak lapan tahun bekerja di pelantar…hanya fikir anak dan isteri sahaja…apa nasib mereka jika sesuatu berlaku kepada saya,” katanya.

Namun beliau optimis cuaca akan kembali tenang kerana mendapat maklumat bahawa kelajuan angin akan berkurang kepada 30 knot menjelang tengah malam ini.

“Apa yang kami lakukan sekarang ini selain berdoa agar keadaan kembali reda adalah mematuhi arahan daripada ‘Offshore Installation Manager’ agar tidak meninggalkan kuarters tempat tinggal sejak dari semalam,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra