Siakap Keli
Gambar : Facebook

Mahu Lulus Ujian Memandu, Pelajar Acu Pisau kepada Angota JPJ

Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak diluar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata dalam kejadian 10.23 pagi semalam di Mantin, lelaki yang berusia 18 tahun itu berang selepas dimaklumkan anggota JPJ berkenaan yang bertugas sebagai penguji bahawa beliau telah gagal kerana telah melakukan beberapa kesalahan jalan raya.

“Antaranya tidak berhenti ketika lampu isyarat merah. Justeru pengadu telah meminta calon berkenaan untuk berhenti iaitu 50 meter daripada persimpangan lampu isyarat Batang Benar di sini bagi tujuan menukar pemandu.

“Calon bagaimana pun masih kekal di tempat memandu dan telah mengambil beg berwarna hitam yang diletakkan di tempat duduk belakang serta mengeluarkan sebilah pisau potong sayur berukuran 12 inci dan mengacukan di rusuk kanan pengadu,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Gambar : Facebook

Beliau mengulas mengenai insiden berkenaan yang tular di media sosial hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata walaupun diarahkan bertenang oleh pengadu, lelaki berkenaan berulang kali memberitahu mahu lulus ujian memandu selepas beliau sebelum ini gagal sebanyak tiga kali.

“Anggota JPJ berkenaan bagaimanapun dapat membuka pintu kereta lalu keluar dari kenderaan dan seterusnya menghubungi penyelia calon dan polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Gambar : Facebook

Susulan itu, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian dan telah menahan suspek.

“Ujian air kencing ke atas suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu mendapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan bunuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan yang mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di