Siakap Keli

(Video)Usaha Tukang Gunting Rambut Ini ‘Memanusiakan’ Gelandangan Dipuji Netizen

Tidak semua yang dilahirkan di atas muka Bumi ini mempunyai nasib yang baik sejak kecil. Ada yang perlu melalui kehidupan yang berliku termasuklah kehilangan ahli keluarga, tiada tempat tinggal ataupun menderita penyakit tertentu.

Namun, apa yang dilakukan oleh lelaki ini dalam menyantuni kumpulan minoriti yang tidak bernasib baik seperti gelandangan ini mendapat perhatian dan sanjungan daripada masyarakat di negaranya.

Joshuaa Coombes atau Josh yang merupakan seorang tukang gunting rambut menggunakan kemahirannya itu untuk mendampingi gelandangan yang biasa diketahui mempunyai penampilan tidak terurus, termasuklah rambut yang panjang.

Dia melakukannya secara percuma. Meluangkan masa di lorong-lorong, padang-padang atau dimana-mana sahaja gelandangan selalu berkumpul di kota London, Josh pasti ada di sana untuk memberikan perkhidmatan gunting rambutnya.

Berbekalkan prinsip ‘Do Something For Nothing’, ada sesetengah gelandangan ini berjaya ditransformasikan hingga memiliki karakter berbeza, seperti artis. Kata Josh, dia memulakan kempen #DoSomethingForNothing ini sebagai usaha untuk memanusiakan kembali gelandangan, yang sering dipandang sebagai subjek asing daripada sistem masyarakat sedia ada.

”Tidak kisahlah siapa pun kamu, saya percaya orang mempunyai banyak masa, lebih daripada yang kita sangka kita ada untuk berhubung dengan orang-orang di sekiling,” kata Josh.

Malah, Josh turut berkongsi kerja sosialnya di atas talian dalam usaha menarik lebih ramai individu untuk turun ke jalanan mendekati insan tidak bernasib baik ini.

”Saya cuba membawa reaksi yang ditinggalkan di media sosial ke dunia nyata, mengajak orang untuk turun,” katanya yang mula mendapat kerjasama daripada rakan-rakannya termasuklah ahli muzik.

”Perasaan kasihan boleh melukakan kamu, betul? Maksud saya, apabila kamu melihat atau berdamping dengan mereka, kamu menyedari bahawa masalah itu benar-benar wujud dan kamu perlu melakukan sesuatu, dan saya memilih untuk melakukannya,” katanya.

Bagi gelandangan, mereka bersyukur kerana ada individu seperti Josh yang tidak kisah untuk berdamping dan bersentuhan dengan mereka.

”Tidak semestinya perlu menggunting rambut atau berbaik dengan gelandangan, ia adalah mengenai benda baik yang kamu buat dan membuat mereka tersenyum”.

Saksikan video dibawah:

Sumber: Insider

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.