Siakap Keli
Gambar Hiasan (Tripsavvy)

Malaysia Tersenarai Antara Negara Rakyatnya Paling Gembira Di Asia

Malaysia disenaraikan pada kedudukan kedua di Asia Tenggara dan keenam di Asia sebagai negara paling gembira di dunia bermula 2015 sehingga 2017, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh World Happiness Report (WHR) 2018.

WHR merupakan penanda aras yang mengukur tahap kegembiraan rakyat di sesuatu negara. Setiap tahun, WHR mengeluarkan senarai laporan 156 buah negara mengikut tahap kegembiraan dengan 117 daripadanya diukur berdasarkan tahap kegembiraan kumpulan imigran di sesuatu negara.

Berdasarkan senarai yang boleh dimuat turun daripada World Happiness Report (WHR) 2018, Malaysia disenaraikan pada kedudukan ke-35 dunia dengan skor sebanyak 6.322, satu anak tangga di belakang Singapura yang memperoleh skor sebanyak 6.343.

Satu lagi negara Asia Tenggara yang berjaya memasuki senarai 10 negara paling gembira di Asia iaitu Thailand berada pada kedudukan ke-46 dunia setelah memperoleh skor sebanyak 6.072.

WHR 2018 menyenaraikan tiga buah negara Scandinavia di kedudukan tiga teratas dengan Finland menerajui carta (7.632) diikuti Norway (7.594) dan Denmark (7.555).

Manakala Emiriah Arab Bersatau (UAE) menjadi negara Asia paling gembira setelah berjaya menduduki kedudukan ke-20 dengan skor sebanyak 6.774. Di kedudukan kedua merupakan negara Taiwan dengan skor 6.441 dan kedudukan ke-26 dunia. Qatar merupakan negara ketiga paling gembira di Asia dan ke-32 dunia setelah memperoleh skor 6.374.

Burundi menjadi negara paling tidak gembira di dunia iaitu pada kedudukan terakhir setelah memperoleh skor sebanyak 2.905.

Antara kriteria-kriteria yang diambil kira dalam pemeberian skor termasuklah GDP per kapita, sokongan sosial, jangka hayat penduduk, kebebasan memilih cara hidup, kemakmuran dan persepsi orang ramai terhadap rasuah.

Sumber: World Happiness Report

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.