Siakap Keli

Pengusaha Premis Makanan Tak Perlu Risau Larangan Merokok Jejas Perniagaan

Pengusaha dan pemilik premis makanan tidak perlu bimbang terhadap ​​​​​​pewartaan larangan merokok sejak 1 Jan lepas, yang dikatakan menjejaskan perniagaan mereka.

Seorang pengusaha restoran Farook Hassan Mohamed Hussain berkata industri makanan dan minuman di Malaysia sentiasa meningkat dengan pesat setiap tahun dan larangan itu dilihat tidak memberi impak besar dalam perniagaannya.

“Peniaga tidak perlu risau dengan kekurangan (larangan merokok) itu kerana saya sudah 18 tahun menceburi bidang ini sejak 2001 dan mendapati trend peningkatan dalam bisnes ini iaitu sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap tahun,” katanya dalam temu bual program Ruang Bicara di Bernama News Channel, hari ini.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa terdapat pemilik restoran mamak yang mendakwa perniagaan mereka terjejas dan menyatakan hanya segelintir pelanggan menikmati juadah tengah hari selain tidak ‘melepak’ terlalu lama sejak peraturan itu dikuatkuasakan.

Farook Hassan yang menjalankan perniagaan menjual nasi kandar itu berkata situasi itu hanyalah bersifat sementara sahaja kerana kebanyakan daripada mereka menyambut baik pelaksanaan tersebut dan akan tetap mengunjungi premis makanan seperti sedia kala.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Ayoob Khan Muhamad Yaakub pula mencadangkan supaya dibenarkan untuk diwujudkan tempat khas bagi perokok di premis makanan supaya mereka tidak menjejaskan persekitaran yang lain.

“Kita juga nak berikan mereka ruang khas. Ini merupakan satu cadangan,” katanya ketika dihubungi ketika program itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata bahawa ​​​​​​​Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 4,000 bilangan aduan merokok di premis makanan setakat 6 Jan lepas.

Dr Norhizan berkata langkah KKM menggunakan pendekatan pendidikan dan penerangan​​​​​​​ holistik​​​​​​​dalam tempoh enam bulan pertama larangan merokok di premis makanan, adalah wajar bagi membolehkan orang awam dapat lebih memahaminya sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.

“Kita masih lagi beri peluang kepada perokok ini untuk mereka mematuhi larangan ini. Kita tidak akan mengenakan hukuman segera kerana jka kita terus sahaja mendenda mereka, pastinya halangan itu akan  menjadi lebih besar,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, KKM mengumumkan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai Tempat Dilarang Merokok berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

— BERNAMA

Nur Farra