Siakap Keli
Gambar : Putera Karya/MEDIA #DTTB

”Arwah Memang Anak Yang Baik..” Kanak-Kanak Lelaki Rentung Dalam kebakaran Kontena

George Town : Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kontena menyimpan barangan lama dalam kebakaran di padang permainan Kampung Jawa, Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)  Bayan Baru  Mohd Tarmizi Abdul Salam berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.15 tengah hari dan sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati api sedang marak.

Gambar : Putera Karya/MEDIA #DTTB

“Pihak bomba dimaklumkan seorang kanak-kanak terperangkap dalam kontena berkenaan dan mayat Muhammad Saifuddin Ali Subahan Senni, 8, ditemui rentung 100 peratus selepas kami berjaya memadam kebakaran itu,” katanya kepada sumber di tempat kejadian, hari ini.

Mohd Tarmizi berkata menurut orang awam  kontena itu tidak berkunci dan kerap dijadikan tempat kanak-kanak di kawasan berkenaan bermain di situ.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak bomba berjaya mengawal serta memadamkan api pada 12.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata berdasarkan siasatan dan keterangan awal rakan kanak-kanak itu yang bermain dengannya dalam kontena berkenaan, mangsa bermain pemetik api sebelum api menyambar barangan yang terdapat di dalamnya termasuk sebuah sofa.

Gambar : Putera Karya/MEDIA #DTTB

Katanya rakannya itu yang juga seorang kanak-kanak lelaki terbakar di bahagian tepi rambut namun dia berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa tidak sempat berikutan api marak dengan cepat.

“Kontena tersebut terbakar kira-kira 80 peratus manakala mayat murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bayan Baru itu ditemui dalam keadaan duduk di bahagian sudut tepi kontena bahagian dalam serta rentung,” katanya.

Katanya siasatan setakat ini tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan. Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Gambar : Putera Karya/MEDIA #DTTB

Sementara itu ayah kanak-kanak berkenaan, Subahan Senni Santar Abdullah 37, berkata anak ketiga daripada empat beradik tersebut keluar ke kedai nenek mereka bersama dua abangnya untuk bersarapan kira-kira 10 pagi tadi, sebelum beliau dimaklumkan anaknya  terlibat dalam kebakaran.

“Saya ada di rumah masa kejadian dan tiba-tiba isteri saya yang dalam pantang anak bongsu kami berusia sebulan bagi tahu Ali terbakar. Saya ingat dia terbakar sikit sahaja dan terus ke lokasi kontena berkenaan.

“Sebaik sampai api sedang marak dan penduduk di sini membantu memadamkan kebakaran…mereka juga bagi tahu anak saya ada dalam kontena manakala seorang rakannya yang bermain dalam kontena itu sempat menyelamatkan diri semasa kejadian,” katanya di sini dan menambah beliau kehilangan kata-kata serta tidak mampu berbuat apa-apa hanya mampu berdoa agar anaknya selamat.

Subahan Senni bagaimanapun pasrah dengan khabar bahawa Muhammad Saifuddin Ali sudah meninggal dunia kerana beliau langsung tidak mendengar suara anaknya itu menjerit atau menangis meminta tolong.

Bercerita lanjut, Subahan Senni berkata dua abang Muhammad Saifuddin Ali tidak menyangka adik mereka  bermain dalam kontena berkenaan kerana tidak pernah bermain di situ malah, nenek mereka juga menyangka mangsa telah balik ke rumah selepas selesai bersarapan.

“Pagi tadi dia tengok televisyen cerita kartun dengan saya sebelum saya bagi duit RM2 untuk pergi bersarapan dengan abang-abangnya di kedai nenek mereka yang tidak jauh dari kontena berkenaan…arwah tidak tunjuk sebarang perubahan dan dalam keadaan baik serta senyum ke arah saya seperti selalu sebelum keluar rumah.

“Arwah memang anak yang baik dan rajin ke sekolah…cuma baru-baru ini dia minta kereta mainan dan saya janji akan beli tapi nampaknya saya tidak sempat membelinya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian menimpa anak saya,” katanya yang mempunyai empat anak lelaki berusia 11 tahun hingga sebulan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.