Siakap Keli
Gambar : www.vacation-key.com

Cuaca Panas, Kurang Hujan Di Sabah Dijangka Berterusan Seminggu Lagi

Kota Kinabalu : Cuaca panas dan kekurangan hujan dialami Sabah ketika ini dijangka berterusan seminggu lagi, namun keadaan suhunya masih normal, kata Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud.

Azemi berkata suhu maksimum semasa di Sabah ketika ini ialah 33 darjah Celsius iaitu normal.

“Jabatan akan sentiasa memantau suhu semasa di Sabah. Jabatan juga akan mengeluarkan maklumat dan amaran sekiranya ada berlaku fenomena gelombang haba. Namun, setakat ini, suhu di Sabah masih dalam keadaan normal,” katanya ketika dihubungi sumber di sini, hari ini.

Azemi berkata berdasarkan tinjauan model iklim antarabangsa menjangkakan kebarangkalian 90 peratus fenomena El-Nino berlaku di Sabah sehingga Mac ini dan 60 peratus berkemungkinan berlarutan sehingga Mei.

Jangkaan hujan bulanan antara Januari hingga Mac di seluruh Sabah juga diramalkan berkurangan  antara 20-40 peratus, katanya.

Sehubungan itu, Azemi turut mengingatkan penduduk setempat supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku selain melakukan penjimatan air berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan.

Berdasarkan ramalan cuaca sehingga 19 Jan ini menerusi laman web MetMalaysia menunjukkan Sabah dijangka berhadapan suhu minimum 22 darjah Celcius dan suhu maksimum 33 darjah Celcius serta hujan di satu dua tempat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.