Siakap Keli

Dari Komando Kepada Doktor Dan Kini Bergelar Angkasawan, Jonny Kim Dianggap Lelaki Amerika ‘Paling’ Bijak

Dr Jonny Kim, seorang lelaki berketurunan Korea ini mungkin menjadi antara individu paling berjaya di Amerika Syarikat apabila berjaya merealisasikan 3 impian kanak-kanaknya sebelum mencapai usia 35 tahun.

Dilahirkan pada 1984, kedua-dua ibu bapanya berhijrah ke Amerika Syarikat daripada Korea Selatan demi menjalani kehidupan yang lebih baik pada tahun 1980. Pada 2002 selepas tamat Sekolah Tinggi, Kim terpilih untuk mengikuti program rekrut Tentera Laut Amerika Syarikat.

Tidak lama kemudian, Kim berjaya melepasi ujian pemilihan dan bergelar anggota pasukan khas disegani dunia, US NAVY SEAL. Bersama-sama SEAL Team 3, Kim terlibat dalam operasi sulit lebih daripada 100 kali di Timur Tengah sebagai penembak hendap dan juga sebagai anggota medik.

Kejayaan Kim melayakkan dirinya dianugerahkan Silver Star dan Bronze Star Combat. Malah Navy Time turut menyenaraikannya dalam salah seorang daripada Top 10 Navy Sailors All Time, bersama-sama dengan salah seorang Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy.

Kim sebelum ini menamatkan pengajian di dua buah universiti iaitu Universiti San Diego dimana beliau memperolehi Sarjana Muda dalam bidang Matematik dan Doktorat di University Harvard. Hasilnya, dia memiliki resume yang sangat hebat seperti di atas.

Menceritakan saat-saat dimana beliau mengambil keputusan untuk menjadi seorang ahli perubatan sepenuh masa apabila beliau gagal menyelamatkan rakannya yang tercedera ketika dalam pertempuran pertama kali disertainya.

”Saat dimana saya membuat keputusan untuk belajar ilmu perubatan apabila saya gagal menyelamatkan rakan baik saya ketika pertama kali kami bertempur di Ramadi.

”Selepas saya melakukan segalanya termasuklah menghentikan pendarahan, mendapatkan pesawat, saya sedar saya tidak dapat melakukan apa-apa. Sekadar melihat pasukan medik menyelamatkannya, namun kami tetap gagal,” katanya.

Pada 2017, Kim memohon untuk menyertai program angkasawan NASA. Setahun kemudian, NASA mengumumkan Kim berjaya terpilih menjadi salah seorang daripada 12 angkasawan baru agensi angkasa lepas tersebut.

Untuk bergelar salah seorang angkasawan daripada 18 ribu permohonan yang dibuat, Kim hanya mempunyai peluang sebanyak 0.067 peratus sahaja. Tetapi dengan resume sedemikian rupa, laluan Kim untuk menguasai langit terbuka luas.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=6m43RSoibhw]

 

Sumber: Joe For America

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.