Siakap Keli

Takut Jadi ‘Isteri Tak Sempurna’, Stigma Masyarakat Ragut Nyawa Wanita Ini Setelah Bertekad Untuk Hamil

Seperti jutaan wanita lain, Wu Ying di China ini juga mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata. Namun, usahanya untuk hamil dan melahirkan anak pertamanya perlu dibayar dengan harga yang begitu tinggi, iaitu nyawanya sendiri.

Sebelum membuat keputusan tersebut, doktor yang merawatnya telahpun menasihati dan menjelaskan risiko yang bakal ditanggung sekiranya dia bertegas untuk meneruskan hajatnya itu.

Untuk Wu Ying, setelah melihat kehidupan sempurna yang dimiliki wanita lain, dia sanggup untuk bertaruh biarpun tahu penyakit jantung yang dialaminya ‘bersedia’ untuk mencabut nyawanya pada bila-bila masa.

”Saya sedar dengan risiko yang perlu dihadapi, tetapi saya sanggup untuk mencubanya,” kata Wu Ying.

Pada Mei 2017, impian Wu Ying untuk memiliki anak tercapai apabila dia melahirkan seorang bayi lelaki sebarat 1 kilogram melalui pembedahan. Malangnya, Wu Yin tidak pernah mendapat peluang untuk menatap wajah bayinya sendiri.

Sebaik sahaja selamat menjalani pembedahan, Wu Ying segera dikejarkan ke unit rawatan rapi. 14 hari kemudian, ajalnya menjemput dia kembali.

Kisah mengenai Wu Ying ini mendapat perhatian masyarakat selepas diterbitkan dalam episod terbaru Life Matters, sebuah dokumentari perubatan yang dihasilkan oleh Shanghai Municipal Health Commission dan Shanghai Television Station di atas talian.

Seperti Wu Ying, sebenarnya ramai lagi wanita yang mengaku sanggup mengambil risiko tersebut untuk memiliki seorang anak disebabkan stigma masyarakat yang seringkali menganggap seseorang wanita itu sebagai ‘isteri tak sempurna’ apabila gagal memiliki cahaya mata.

Lin Jianhua, Pengarah Hospital Shanghai Renji mendedahkan kebanyakkan kematian dalam kalangan wanita mengandung di China adalah mereka yang sedar dengan risiko apabila hamil.

”Ada banyak alasan yang diberikan oleh mereka. Cintakan suami, harapan daripada keluarga dan tekanan daripada masyarakat. 

”Mereka tahu tentang risiko dan kami telah pun menasihatkan mereka. Tetapi akhirnya, ia terpulang kepada wanita-wanita ini kerana hak untuk hamil dan memiliki anak adalah hak mereka untuk membuat keputusan.

”Kami tidak boleh memaksa mereka untuk menggugurkan bayi tersebut,” katanya.

Contohnya, Wu Ying yang mengalami masalah jantung dan tekanan darah tinggi telah pun disahkan oleh doktor sebagai ‘amat tidak sesuai’ untuk hamil.

Wu Ying sebelum ini pernah keguguran sebanyak dua kali sebelum disahkan hamil buat kali ketiga pada 2016. Suaminya yang menyedari risiko bakal menimpa Wu Ying telah menasihatinya untuk menggugurkan bayi tersebut, tetapi Wu Ying telahpun membulatkan tekad.

”Dia sangat bertegas dengan keputusannya. Malah dia menangis dihadapan kami semua. Akhirnya saya terpaksa bersetuju,” kata Shen Jie.

Wu Ying ketika ditemu ramah sebelum melahirkan bayi tersebut menjelaskan alasan dia memilih untuk berbuat demikian.

”Ramai yang kata saya degil. Tetapi anda tidak pernah berada di tempat saya dan tidak tahu apa yang saya tanggung. Ada juga rakan-rakan yang memujuk, tetapi mereka tidak faham kerana mereka sudah memiliki anak. Saya? Tiada,” katanya.

Bagi para doktor yang melihat Wu Ying, wanita itu sangat muda tetapi mereka berharap para wanita diluar sana untuk mengikut nasihat daripada doktor dan tidak meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

Kisah Wu Ying juga mendapat perhatian netizen yang rata-rata meninggalkan komen yang turut terkesan dengan apa yang berlaku kepada Wu Ying.

”Wanita sangat terluka apabila tahu dia tidak boleh memiliki anak. Saya telah melaluinya dan saya memahami apa yang dilalui oleh Wu Ying,” kata netizen.

Doktor-doktor menjelaskan mereka terpaksa meminta wanita-wanita yang mempunyai risiko tetapi memilih untuk hamil supaya menandatangani perakuan untuk membuat keputusan diluar nasihat doktor.

Bagaimanapun, pihak hospital tetap memberikan bantuan dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan wanita-wanita ini selamat ketika melahirkan anak.

”Jika mereka nekad untuk meneruskan kehamilan, kami akan memberi bantuan penuh untuk memastikan mereka selamat dan sihat. Namun, dalam kebanyakkan masa, semuanya berada di luar kawalan kami.”

Sumber: Asia One

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.