Siakap Keli
Gambar Hiasan

Walaupun Sedang Hamil, Masih Boleh Mendaki Gunung

Bapa mana yang tidak gembira apabila mengetahui ada denyutan di dalam perut si ibu. Bergelar ibu mengandung pasti ramai yang takut untuk bergerak aktif kerana risau ia mendatangkan mudarat kepada bayi, terutama bagi mereka yang sedang mengandungkan anak yang pertama.

Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada semasa mengandung boleh bergerak aktif atau tidak? Kalau kita lihat di media sosial dan sebagainya ada ibu yang mengandung yang pergi menaiki gunung. Hari ini penulis akan berkongsi pendapat daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad mengenai bolehkah seorang ibu hamil untuk mendaki gunung.

Mendaki bukit boleh menjadikan tubuh kita menjadi semakin sihat. Ia juga dapat menurunkan tahap tekanan emosi yang kita hadapi setiap hari.

Namun begitu, tidak semua wanita yang hamil, boleh mendaki bukit. Wanita yang sihat dan biasa melakukan akitiviti ini semenjak remaja mungkin tidak mengalami sebarang masalah walaupun sedang hamil.

Cuma dibimbangi kecederaan seperti terjatuh atau terseliuh boleh mengganggu kehamilan.

Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan semasa hamil seperti tekanan darah tinggi atau diabetes semasa hamil, atau placenta previa, saya nasihatkan agar tidak mendaki bukit. Ini kerana risiko kemudaratannya lebih tinggi.

Banyak pendapat yang menasihat sama ada wanita itu ada masalah kesihatan semasa hamil atau pun tidak, agar tidak melakukannya sewaktu hamil.

Pada ketinggian tertentu, kadar oksigen akan berkurang. Ini akan mereka akan berasa cepat penat dan mengalami masalah sukar bernafas.

Apatah lagi aktiviti mendaki itu sendiri memerlukan tenaga dan oksigen yang banyak. Sudah tentu bayi dalam rahim akan mengalami masalah apabila tidak dapat cukup oksigen yang sepatutnya dibekalkan oleh ibu mereka.

Namun jika tuan mempunyai hajat besar untuk mendaki bukit dan tidak boleh bertangguh lagi, saya menasihatkan agar pendakian itu tidak melebih 2500 meter ketinggian dari paras laut.

Semakin tinggi pendakian, semakin nipis kandungan oksigen dalam udara, ditambah lagi dengan rasa penat mendaki, boleh memberikan kemudaratan pada ibu dan bayi dalam rahim.

Jika mengalami tanda-tanda seperti pening, sukar bernafas, atau sakit kepala, atau pergerakan bayi dalam rahim semakin kurang, ini bermakna wanita yang hamil itu sedang mengalami masalah berkaitan kehamilannya. Anak dalam rahim juga mungkin sedang mengalami masalah yag sama.

Mereka harus cepat turun untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Kita tidak boleh membandingkan wanita hamil yang tinggal di kawasan yang tinggi kerana mereka mengadaptasi suasana tahap oksiden yang rendah kerana telah bertahun-tahun tinggal di situ.

Apa yang penting ialah tahu batasan ketika mendaki. Jangan memaksa diri. Pastikan diri benar-benar sihat dan fit sebelum mendaki bukit yang tinggi. Berhati-hati agar tidak jatuh ketika melalui jalan sempit yang licin.

Jangan membawa bersama barangan yang berat. Ketika hamil, mereka sudah membawa berat tambahan sehingga 5 kg atau lebih berupa berat bayi, uri dan air tuban.

Berehatlah jika penat mendaki di pertengahan jalan. Ini kerana wanita hamil memerlukan banyak oksigen dan biasanya rasa lebih mudah penat. Tanda kepenatan yang melampau ialah apabila mereka tidak dapat bertutur dengan ayat yang penuh tanpa berasa tercungap-cungap.

Bawa makanan dan air minum dari yang secukupnya kerana wanita hamil akan berasa mudah lapar. Apabila berpeluh, lebih banyak kehilangan mineral dan harus diganti segera dengan minum air mineral.

Gunakan peralatan pendakian yang sesuai seperti kasut, pakaian dan juga perlatan tambahan seperti “tracking pole”. “Tracking pole” akan membantu terutama apabila mendaki bukit yang curam bagi mengelakkan terjatuh.

Jangan lupa buat pemeriksaan dan mendapat nasihat doktor yang merawat sebelum mendaki.

Semoga bermanfaat.

Bagi kaum ibu di luar sana, seeloknya tidak melakukan aktiviti ini semasa hamil kerana bimbang menyebabkan sesuatu kepada kandungannya. Dapatkan nasihat daripada doktor mengenai aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mereka yang sedang hamil dan dalam masa yang sama masih boleh bergerak aktif.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

marlya syafikah