Seorang remaja di Brazil ini berjaya merakam satu fenomena alam yang luar biasa iaitu kanopi labah-labah yang pada awalnya dianggap sebagai hujan labah-labah.
Beratus-ratus ekor labah-labah dirakam seolah-olah sedang terbang dalam insiden yang berlaku di kawasan pedalman di selatan Minas Gerais.
Walaupun labah-labah berkenaan dilihat seolah-olah mahu jatuh ke Bumi, haiwan ini sebenarnya berada dalam keadaan tergantung pada sarang labah-labah gergasi yang dibina bagi memerangkap mangsa.
Menurut laporan Mirror UK, fenomena kanopi labah-labah ini berlaku disebabkan keadaan cuaca yang panas dan lembap yang sedang dialami di wilayah tersebut.
”Ia adalah taktik yang digunakan oleh labah-labah ini untuk meningkatkan peluang mendapatkan makanan. Sarang labah-labah itu bertindak seperti payung terjun, dan fenomena hujan labah-labah ini juga sering dipanggil sebagai ‘ballooning’,” kata salah seorang biologis.
João Pedro Martinelli Fonseca, 14, dikatakan mengambil video fenomena tersebut ketika berkunjung ke ladang milik datuknya. Dia terkejut dengan fenomena itu, lebih-lebih lagi salah seekor labah-labah tersebut jatuh dan memasuki kereta yang dinaikinya.
”Ada lebih banyak labah-labah dan sarangnya berbanding apa yang kelihatan di video. Kami sering melihatnya ketika keadaan panas dan berjerebu,” kata nenek kepada Pedro, Jercina Martinelli.
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=kOU9TzJ29TM]
Sumber: Mirror UK