Siakap Keli
Gambar : Bernama

Abdul Azeez Tak Mengaku Terima Rasuah RM5.2 Juta, Pengubahan Wang Haram Hampir RM140 Juta

Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Abdul Azeez, 52, yang memakai sut hitam dan kemeja putih membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Azeez didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1.2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus dan tender terhad yang keseluruhannya bernilai RM197,805,750.18.

Projek berkenaan membabitkan tiga iaitu Projek Jalan Air Kuning ke Kampung Gajah, Daerah Batang Padang, Perak (fasa pertama hingga ketiga), dan Projek Membina Jalan Kampung Merbau Kudung/Felda Teloi Timur, Sik, Kedah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, No. 6, Jalan Tun Perak, City Centre, di sini pada 8 Dis 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Abdul Azeez didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM4 juta daripada individu sama sebagai upah kerana membantu Syarikat Menuju Asas mendapatkan Projek Membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia yang bernilai RM644,480,000.00.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Sementara itu, abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah bagi membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan Projek Membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) secara tender terhad daripada  Kementerian Kerja Raya Malaysia yang bernilai RM644,480,000.00, di mana kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Abdul Azeez dan Abdul Latif diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Bagi kes pengubahan wang haram pula disebut di hadapan Hakim  Mahkamah Sesyen Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Abdul Azeez dituduh telah melakukan kesalahan  pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing RM1,910,000, RM670,000, RM4,131,104.60, RM783,900 dan RM1,483,900 daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM8,183,900 daripada tiga syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd (RM183,900.00), Mangkubumi Sdn Bhd  (RM6,000,000.00) dan Pintas Utama Sdn Bhd (RM2,000,000.00).

Pertuduhan ketujuh pula, dia dituduh melakukan kesalahan sama berjumlah RM33,363,885.25 daripada tiga syarikat sama iaitu Menuju Asas (RM6,263,885.25), Mangkubumi (RM17,200,000.00) dan Pintas Utama (RM9,900,000.00).

Bagi pertuduhan kelapan, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan ​​​​​​​serupa berjumlah RM63,639,975.00 daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas (RM17,269,975.00), Mangkubumi  (RM31,600,000.00), Pintas Utama (RM8,000,000.00) dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd (RM6,770,000.00).

Tertuduh juga didakwa melakukan​​​​​​​ perbuatan sama berjumlah RM25,250,000.00 daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas (RM4,630,000.00), Mangkubumi (RM16,000,000.00), Pintas Utama (RM2,500,000.00) dan AVP Engineering (RM2,120,000.00).

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.