Siakap Keli

”Sehari Sebelum Hilang, Saya Lihat Dia Menangis Sendirian,” Sayu, Suami Guru Hilang Kongsi Cerita

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Misteri kehilangan seorang guru Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau, yang hilang masuk hari ketiga sejak isnin lalu masih belum terungkai sehingga kini.

Menurut suaminya, Muhammad Naim Mahayadin, 30, malam sehari sebelum kejadian, isterinya, Nur Farhana Ibrahim, 27,  ketika itu dilihat menangis sendirian semasa menidurkan anak tunggal mereka di rumah.

“Saya ada tanya dia kenapa menangis tetapi dia hanya jawab tak ada apa-apa. Saya pun tak syak apa-apa lalu terus tidur,” katanya ketika ditemui sumber.

 

Pada keesokan paginya, dia menghantar Nur Farhana ke tol Alor Setar bagi ditumpangkan oleh rakannya untuk ke tol Sungai Dua, Butterworth.

“Isteri saya menumpang rakannya untuk ke tempat kerja dan meletakkan keretanya di tol Sungai Dua. Selepas menghantarnya di tol Alor Setar pada Isnin, jam 5.45 pagi, saya ada hubunginya pada sebelah petang namun panggilan tidak dijawab.

Dia yang pulang ke rumah pada jam 6.30 petang, menemui telefon bimbit isterinya itu berada di atas almari di bilik mereka. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, dia menghubungi rakan-rakan isterinya namun mereka juga tidak tahu di mana isterinya berada.

“Mereka hanya nampak kereta isteri yang diletakkan di luar kawasan sekolah namun mengesahkan dia hadir pada hari tersebut. Berdasarkan keterangan guru besar, kali terakhir isteri saya dilihat adalah pada 14 Januari lalu kira-kira jam 9.40 pagi di kantin sekolah,” katanya.

Pada selasa, dia cuba mengesan isterinya di sekitar kawasan sekolah bersama guru dan guru besar namun gagal sebelum membuat laporan polis.

Katanya, kehilangan isterinya itu disyaki mempunyai kaitan dengan kegagalan permohonan pertukaran tempat kerja memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang masalah sebelum ini.

Berdasarkan maklumat pihak polis, gerakan mencari mangsa yang dibantu oleh anjing pengesan dan Unit K9 telah dihentikan semalam berikutan tiada petunjuk yang ditemui di kawasan sekitar. Orang awam yang mempunyai maklumat digesa menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Difahamkan, Nur Farhana telah didiagnosis mengalami simptom tekanan serius (‘reactive depression with marked anxiety symptoms’) sejak beberapa tahun lalu. Dia dipercayai mengalami tekanan apabila perlu berulang alik dari Alor Setar ke sekolahnya setiap hari.

Sumber : GPSBestari, Syajaratulhuda Mohamad Rosli

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.