Siakap Keli
Gambar Hiasan

Cabaran ’10 Year Challenge’ Didakwa Dibina Untuk Bantu Teknologi Pengecaman Wajah?

Seorang penulis dunia teknologi terkenal, Kate O’Neill mendakwa fenomena ’10 Year Challenge’ yang menjadi trend ketika ini mungkin boleh diguna untuk membantu teknologi pengecaman wajah di masa depan, seperti dilaporkan CTV News.

Walaupun tidak dapat dipastikan secara tepat tarikh cabaran ini bermula, ’10 Year Challenge’ atau turut disebut sebagai ”How Hard Did Aging Hit You” dan “Glow Up Challenge” mula tersebar meluas di pelbagai platform media sosial sejak awal tahun 2019.

Melalui cabaran tersebut, mana-mana individu yang berminat untuk mencuba perlu memuat naik sekurang-kurang dua keping gambar dengan perbezaan masa 10 tahun antara gambar pertama dengan gambar kedua.

Malah, cabaran ini turut menjadi trend dalam kalangan selebriti dan beberapa tokoh ternama sama ada dalam ataupun luar negara.

”Saya 10 tahun lepas mungkin salah seorang daripada mereka yang terpengaruh dengan cabaran untuk berkongsi gambar perubahan wajah saya. Saya pada masa ini pula terfikir jika semua data ini diguna untuk ‘melatih’ kecerdasan buatan dalam mengenal perubahan usia dan cara mengenalinya,” kata Kate.

Kate kemudian turut menyuarakan pendapatnya yang kemudian diterbitkan oleh Majalah WIRED mengenai usaha pihak-pihak tertentu untuk melatih kecerdasan buatan ini.

”Ideanya, kamu mahu sejumlah set gambar manusia yang banyak dan meluas. Lebih membantu sekiranya kamu tahu perbezaan masa antara dua gambar tersebut diambil, misalnya 10 tahun,” katanya mengakui bahawa kebanyakkan gambar tersebut sudah ada di media sosial tetapi sangat sukar untuk pembangun kecerdasan buatan ini untuk menentukan tarikh sesuatu gambar tersebut diambil.

Bagaimanapun melalui cabaran ini, Kate mendakwa netizen tanpa sedar memberikan data yang dikehendaki ini secara sukarela.

Dakwaan yang dibuat Kate juga mendapat pandangan yang sama daripada Brenda McPhail, Pengarah Persatuan Kebebasan Sivil Bagi Hak Peribadi, Teknologi dan Pengawasan Rakyat Kanada.

”Saya yakin, apabila mereka memuat naik gambar untuk mengambil bahagian dalam cabaran ini mereka cuma berfikir,”Mesti kelakar dan rakan-rakan boleh gelak tentang perubahan diri aku” dan tidak berfikir melebihi daripada itu.

”Sama ada cabaran ini digunakan untuk membantu melatih kecerdasan buatan bagi teknologi pengecaman wajah atau tidak, kemungkinannya tetap ada dan netizen perlu lebih berhati-hati.

”Kita perlu berfikir, apakah perkongsian data seperti itu boleh membantu mana-mana pihak yang mahu meraih keuntungan daripada cabaran sedemikian rupa,” Kata Brenda.

Bagi Pensyarah di Universiti Calgary pula, dia tidak melihat bahawa gergasi teknologi media sosial seperti Facebook perlu memulakan cabaran seperti ini memandangkan mereka sudahpun mempunyai akses kepada gambar-gambar yang dikongsikan di platform tersebit. Perkara ini turut dinafikan oleh Facebook sendiri.

Namun bagi Tom Keenan, ia mungkin dimulakan oleh pihak ketiga yang mahu mengumpul data disebabkan tiada sesiapa pun yang tahu bagaimana cabaran ini boleh meletus di seluruh dunia.

Katanya, data ini mungkin boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik seperti mengesan orang hilang ataupun untuk tujuan pengiklanan bersasaran.

”Perkara ini perlu dibincangkan dengan serius. Apakah yang dimaksudkan dengan maklumat awam dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kehidupan seseorang.

”Kita perlu dimaklumkan bahawa maklumat-maklumat tersebut boleh dimanfaatkan oleh orang lain,” katanya.

Walaupun Kate merasakan cabaran ini tidaklah berbahaya dan tidak salah untuk dicuba, tetapi netizen perlu waspada dan berhati-hati ketika berkongsi.

”Tidak kisahlah darimana ia bermula, kita tetap perlu berhati-hati dengan maklumat yang kita kongsi dan keizinan untuk akses kepada maklumat tersebut,” kata Kate lagi.

Keenan juga berkongsi pendapat yang sama terutama buat ibu bapa yang suka berkongsi maklumat peribadi anak-anak mereka di media sosial.

”Netizen perlu terlebih dahulu memikirkan mengenai risiko sebelum berbuat sesuatu, lebih-lebih lagi dengan perkembangan pesat teknologi pada hari ini. Saya sentiasa curiga dengan cabaran sebegini memandangkan gambar anda boleh digunakan sebagai pengenalan wajah, atau Face ID”.

Sumber: CTV News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.