Siakap Keli

Giliran Kelantan Sedia Wifi Percuma Untuk Rakyat

Kerajaan Kelantan hari ini melancarkan kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau wifi secara percuma di 10 lokasi tumpuan sekitar Kota Bharu bagi kemudahan rakyat.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pembangunan kemudahan bernilai RM225,000 itu disediakan melalui khidmat sosial Infra Quest Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Pelaksanaan wifi percuma ini salah satu pelan induk pembangunan mampan Kelantan pada tahun ini dalam memastikan kita bergerak selaras teknologi digital. Ia juga salah satu janji dalam manifesto kita pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.

“Kita harap kemudahan ini digunakan sepenuhnya untuk kebaikan dan tidak menyalahgunakannya untuk menular pelbagai fitnah yang boleh menggugat keamanan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kelantan Free Wifi di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Pendidikan Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi Maklumat Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan di sini, hari ini.

Program sama turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoIC) antara PKINK dan Telekom Malaysia Berhad, serta majlis menandatangani perjanjian usahasama antara IQSB dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Antara lokasi yang menikmati kemudahan wifi percuma dengan kapasiti 50 mbps itu termasuk Medan Mara, Bulatan Jam Besar, Dataran Cheng Ho, Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, medan usahawan (stadium) dan beberapa jalan utama sekitar bandar Kota Bharu.

Dalam pada itu, Ahmad mendakwa tindakan saman dibuat kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan berhubung pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang berkemungkinan untuk meraih undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Katanya kebajikan masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan malah kerajaan negeri turut memperuntukkan kawasan perlindungan kepada golongan itu dengan menyediakan kawasan tadahan air seluas 4,800 hektar selain kawasan pertanian dan penempatan yang sepatutnya diuruskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Sementara itu, Mohd Amar berkata semua projek di kawasan Orang Asli dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan tidak timbul berlakunya sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri.

— BERNAMA

Nur Farra