Siakap Keli

Mat Sabu Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Khairy

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khairy Jamaluddin yang didakwanya masih terus mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu penggunaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata peguam peribadi kepada menteri pertahanan berkenaan akan menghantar notis tuntutan undang-undang kepada Anggota Parlimen Rembau itu dalam waktu terdekat.

“Khairy terus mengeluarkan kenyataan fitnah ini walaupun Kementerian Pertahanan sudah pun menjelaskan mengenai perkara ini dalam satu kenyataan pada 15 Jan 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sidang media di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang hari ini, bekas Ketua Pemuda UMNO itu dilapor berkata menteri pertahanan berkenaan menggunakan jentera ATM ketika berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) sempena PRK Cameron Highlands.

Sebelum ini, Mohamad menjelaskan gambar yang memaparkan beliau dengan berlatarbelakangkan helikopter merupakan lawatan rasminya ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Jan, tiga hari sebelum penamaan calon PRK kawasan Parlimen itu.

Mohamad yang juga Presiden Amanah menjelaskan bahawa beliau menaiki kereta persendirian ke Cameron Highlands pada hari penamaan calon, 12 Jan lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.