Siakap Keli

Sepupu Dakwa Lihat Gambar Altantuya Bersama Razak Baginda Dan Seorang Timbalan Perdana Menteri

Saksi pertama yang memberi keterangan pada perbicaraan kes saman sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu memberitahu bahawa wanita Mongolia yang dibunuh itu menjalin hubungan dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Burmaa Oyunchimeg, 37, sepupu Altantuya memberitahu bahawa kali pertama dia bertemu Abdul Razak apabila Altantuya memperkenalkannya kepada Abdul Razak di sebuah hotel di Hong Kong pada akhir 2004.

“Pada masa itu saya tinggal di Hong Kong dan dia (Altantuya) datang dari Mongolia kerana bercuti untuk melawat saya.

“Apabila dia memperkenalkan saya kepada beliau (Abdul Razak), dia memberitahu saya bahawa Abdul Razak adalah seorang kawan tetapi kemudian memberitahu saya mereka menjalin hubungan,” katanya ketika disoal oleh peguam Sangeet Kaur Deo di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera di sini hari ini.

Burmaa berkata Altantuya juga memberitahunya bahawa lawatan ke Hong Kong itu adalah untuk tujuan perniagaan.

Saksi itu berkata kali kedua dia bertemu Abdul Razak ialah di Shanghai, China pada Januari 2005, apabila dia dan Altantuya bertolak dari Hong Kong dan bertemu Abdul Razak di lapangan terbang.

Burmaa berkata pertemuan kali ketiga berlangsung pada Mac 2005 di Singapura sambil menambah bahawa Altantuya dan Abdul Razak telahpun tiba di sana sebelum dia tiba.

Saksi itu berkata selepas dia dan Altantuya menaiki penerbangan kembali ke Mongolia dari Singapura pada Mac 2005, Altantuya menunjukkan kepadanya gambarnya, Abdul Razak dan seorang timbalan perdfana menteri.

Burmaa berkata Altantuya menunjukkan gambar-gambar mengenai lawatannya ke Paris bersama Abdul Razak.

“Apabila kami kembali ke Mongolia, dia (Altantuya) menunjukkan kepada saya gambar-gambar mengenai kunjunginya ke Paris bersama Abdul Razak.

“Saya masih ingat melihat gambar tiga individu, dua lelaki dan Altantuya. Saya bertanya kepada Altantuya siapakah mereka lalu dia menjawab seorang daripadanya ialah timbalan perdana menteri dan seorang lagi Abdul Razak yang bekerja dengannya dan menjalankan perniagaan bersama.              “Saya bertanya sama ada mereka adik-beradik kerana nama mereka sama. Altantutya berkata tidak tetapi mereka kawan baik, rakan perniagaan dan bekerja bersama,” kata saksi itu.

Pada Jun, 2007, keluarga Altantuya iaitu bapanya Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman sivil RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, nama  Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai sebagai plaintif selepas meninggal dunia dua tahun  lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa bahawa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rughi teruk.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006, tetapi dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos, 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar’ dan membebaskan mereka daripada pertuduhan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan, 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah mendapati Sirul Azhar dan Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas mereka.

Perbicaraan bersambung esok dengan Dr Shaariibuu memberi keterangan.

– BERNAMA

Nur Farra