Siakap Keli
Gambar Hiasan

(Video) Aquascaping, Hobi Mahal Yang Memerlukan Ketelitian, Ini Adalah Tips Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membinanya

Aquascaping adalah antara ‘perhiasan’ dalam rumah yang memerlukan anda untuk mencurah tenaga, waktu, wang ringgit dan sedikit kretiviti untuk disiapkan.

Hobi ini yang boleh dianggap sebagai hobi yang lebih ‘advanced’ daripada memiliki akuarium biasa dengan beberapa ekor ikan sahaja di dalamnya pasti akan memberikan kepuasan apabila berjaya disiapkan.

Namun begitu, aquascaping selain memerlukan modal yang agak besar, anda juga memerlukan ilmu tertentu bagi memahami apa yang anda lakukan.

Kami bawakan perkongsian daripada Aizad Fahmy, antara ‘guru’ dalam dunia aquscaping mengenai beberapa tips yang boleh dimanfaatkan oleh anda yang mahu berjinak-jinak dengan hobi ini. Semoga bermanfaat.

Oleh kerana ramai yang minta saya buat tutorial untuk aquascaping semalam, saya penuhi permintaan kawan-kawan pagi ni. Mesti ramai yang tertanya macam mana nak cipta akuarium yang cantik macam dalam gambar-gambar ni? 

Ada 7 asas kepada semua jenis aquascaping, tak kira apa tema anda. Pastikan anda memahami kesemua asas berikut, dan anda pasti akan berjaya mencipta aquascape anda yang unik dan tersendiri:

1. Akuarium
2. Penapis
3. Substrate
4. Pokok dan hiasan
5. Ikan
6. Maintenance
7. Algae

AKUARIUM

Akuarium adalah rumah kepada aquascape anda. Majoriti aquascape adalah berasaskan akuarium kaca. Secara amnya, akuarium kaca terbahagi kepada 2; akuarium kristal, dan akuarium biasa. Rujuk gambar di bawah untuk perbezaan antara dua jenis akuarium ini.

Saya cadangkan untuk bermula dengan akuarium biasa, minimum ukuran panjang 2 kaki beserta stand. Akuarium juga wajib ada alas di bawahnya, sama ada menggunakan polistrin, ataupun alas karpet yoga. Tanpa alas, akuarium anda pasti akan retak akibat tekanan yang tinggi.

PENAPIS

Komponen kedua ini adalah alat yang paling penting untuk memastikan akuarium anda bersih dan hidupan di dalamnya sihat. Penapis bukan sahaja bertujuan untuk menapis bendasing dalam air, tetapi juga sebagai rumah untuk bakteria bermanfaat.

Penapis secara amnya mempunyai 3 komponen; mekanikal, biologikal, dan kimia. Mekanikal merujuk kepada span kasar dan halus, yang merupakan lapisan pertama dalam penapis. Tujuannya adalah untuk menapis kotoran kasar dan halus di dalam air.

Komponen kedua adalah biologikal. Ini merujuk kepada sebarang perumah kepada bakteria bermanfaat yang menguraikan bahan buangan ikan dan pokok kepada unsur yang kurang berbahaya kepada ikan. Rujuk kepada kitaran nitrogen pada gambar di bawah.

Komponen terakhir dalam penapis adalah tapisan kimia. Tapisan kimia merujuk kepada sebarang bahan yang digunakan untuk menyerap bahan kimia yang toksik di dalam akuarium. Ia tidak wajib, dan hanya digunakan apabila perlu.

Saya cadangkan untuk bermula dengan penapis jenis HOB (hang on back) kerana penapis ini adalah sangat mudah dipakai serta mudah dibersihkan. Boleh naik taraf kemudian selepas menjadi lebih berpengalaman.

SUBSTRATE

Boleh dikatakan hampir semua tema aquascape memerlukan substrate/tanah/gravel/pasir. Bergantung kepada tema aquascape anda, ada pelbagai jenis substrate dipasaran. Fokus hari ni adalah aquascape bertemakan tumbuhan akuatik.

Substrate untuk aquascape bertemakan tumbuhan akuatik memerlukan aquasoil. Aquasoil adalah tanah yang telah diproses agar ia tidak mudah pecah dan mampu membajai pokok akuatik. Minimum 3 inci diperlukan untuk pokok kekal tertanam dan tidak terapung semula.

Ada banyak cara untuk menggubah substrate aquascape, bergantung kepada tema. Sebagai permulaan, saya cadangkan agar anda bermula dengan aquasoil yang biasa, jenama CAY, Akadama ataupun Amazonia.

POKOK DAN HIASAN

Ada beratus-ratus jenis pokok, dan beribu jenis hiasan yang anda boleh gunakan dalam aquascaping. Semuanya bergantung kepada tema aquascape anda. Secara amnya, pokok terbahagi kepada 3 kategori; foreground, midground dan background.

Foreground merujuk kepada pokok yang sesuai untuk ditanam di hadapan akuarium. Pokok-pokok yang dipilih adalah jenis yang renek dan menjalar.

Contoh pokok foreground:

Midground pula merujuk kepada pokok di pertengahan akuarium anda. Ini adalah tarikan utama kepada akuarium anda, atau dalam erti kata lain, centerpiece. Pokok yang berwarna-warni adalah pokok midground yang popular.

Contoh pokok midground:

Background plant merujuk kepada pokok yang menjadi latarbelakang ataupun backdrop kepada pentas aquascape anda. Pokok yang dipilih biasanya adalah pokok yang tinggi dan berjurai.

Contoh pokok background:

Saya cadangkan agar anda bermula dengan pokok yang “keras” dan tidak memerlukan belaian manja seperti anubias, java fern, christmas moss, dan cabomba agar anda tidak patah semangat kalau pokok mati hehe.

IKAN

Jika anda tidak mempunyai tema yang spesifik, anda boleh mencuba hidupan gaya komuniti. Tangki komuniti adalah terdiri daripada hidupan yang boleh hidup dengan aman sesama sendiri tanpa pemangsa. Ini penting agar hidupan tidak tertekan dan akan cepat mati.

Pastikan juga hidupan yang anda pilih tidak akan memakan pokok-pokok anda. Jauhkan daripada memilih ikan jenis kap, koi dan ikan karnivor jika anda memilih untuk tangki komuniti aquascape.

Saya cadangkan agar anda cuba membela ikan yang “keras” dan tak susah mati seperti neon tetra. Anda juga boleh membela skuad pembersih akuarium seperti Amano shrimp.

MAINTENANCE

Tiada akuarium dalam dunia ni yang tidak perlukan maintenance, walau macam mana pun lengkap dan mahal. Elemen-elemen toksik akan terkumpul di dalam air dan perlu dibuang. Istilah ini dinamakan sebagai penukaran air atau water change.

Apa yang saya lakukan pada akuarium saya adalah penukaran air sebanyak 20% maksimum setiap minggu, dan pembersihan penapis setiap bulan. Penting untuk diingatkan disini: jangan sesekali cuci penapis dengan air paip. Gunakan air yang diambil dari akuarium sahaja.

Ini kerana jika anda mencuci penapis dengan air paip, anda akan membunuh bakteria bermanfaat dalam penapis anda, dan ini akan membuatkan tangki anda “crash” dan kesemua hidupan boleh mati akibat ketiadaan ejen penguraian bahan buangan ikan.

Semasa pertukaran air ini juga saya akan ambil kesempatan untuk menggosok cermin dalam akuarium dengan span untuk menanggalkan alga yang bertapak di situ. Saya juga akan menggunakan tiub kecil dan menyedut habuk dan debu di dasar akuarium.

ALGAE

Setiap tangki pasti tidak akan lari daripada masalah ini. Algae adalah petanda:

1. Tangki anda kekurangan sesuatu
2. Tangki anda terlebih sesuatu

Jadi untuk memastikan apa yang kurang atau terlebih, jenis algae tersebut perlu dikenalpasti terlebih dahulu.

Algae yang paling “popular” dikalangan aquascaper adalah algae berambut hijau (GHA). Algae ini wujud kerana penghobi baru sangat teruja untuk mengintai akuarium mereka, dan lampu akan dibiarkan terbuka terlalu lama.

Untuk membasmi GHA, anda perlu kurangkan tempoh lampu dibuka, maksimum hanya 8 jam sehari dan jika perlu, beli plug timer supaya anda tidak perlu membuka dan menutup suis lampu setiap hari.

Ada banyak jenis alga dalam akuarium, dan setiap satu menandakan kekurangan atau kelebihan sesuatu elemen dalam akuarium. Menjaga akuarium supaya bebas algae adalah hampir mustahil, jadi apa yang anda boleh buat adalah mengawal algae tersebut.

Kategori terakhir adalah berkenaan lampu. Ada pelbagai jenis lampu dipasaran. Penting untuk memilih lampu yang sesuai untuk aquascaping. Jika boleh, cari lampu yang berpadanan dengan panjang tangki dan bajet, dan mempunyai fungsi boleh malap.

Itulah saja berkenaan Aquascaping 101. Jika anda ada pertanyaan, bolehlah ditujukan ke http://aquascape101.wassap.my/ atau boleh DM saya secara terus. Selamat memulakan hobi dan semoga berjaya!

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=lD7k6MRsTz8]

 

Sumber: Aizad Fahmy

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.