Siakap Keli

Bayaran Fasa Pertama Bantuan Sara Hidup 2019 Pada 28 Januari Ini

Putrajaya : Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dilaksanakan pada 28 Jan (Isnin), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pembayaran BSH fasa pertama itu mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Ia dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah serta melibatkan  peruntukan berjumlah RM1.2 bilion, katanya.

“Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pembayaran fasa pertama BSH itu.

Lim berkata kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama, yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya.

Lim berkata setelah pangkalan data dikemas kini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah,” katanya.

Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa terdekat, katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.