Siakap Keli
Gambar Hiasan

Intai, Hendap Perlu Diklafisikasi Sebagai Jenayah – Liew

PUTRAJAYA, 24 Jan (Bernama) — Perbuatan mengintai atau menghendap perlu diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kerajaan akan melihat perkara itu dengan lebih serius termasuk mewujudkan satu undang-undang baharu bagi menangani gejala tersebut selepas mendapat maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan dan orang awam.

“Perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang mangsa itu mengalami gangguan emosi dan mengganggu rutin kehidupan mereka, di samping boleh menjejaskan aktiviti harian termasuk pekerjaan dan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Liew juga berkata demikian dalam temu bual bersama wakil media dari Thomson Reuters Foundation pada Selasa lepas.

Menurut Liew, beberapa negara luar telah lama melaksanakan Undang-Undang Menghendap Seseorang dan tindakan diambil segera apabila laporan dibuat kepada pihak berkuasa, selain mengenakan hukuman terhadap pesalah jika sabit kesalahan.

Ketika ini, katanya, undang-undang sedia ada di negara ini tidak mengambil sebarang tindakan berdasarkan perbuatan mengintai atau menghendap memandangkan ia sukar untuk dibuktikan kecuali jika perbuatan berkenaan telah mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

“Jenayah moden ini boleh bermula hanya dengan gangguan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), media sosial, panggilan telefon dan juga emel,” katanya.

Liew berkata jenayah itu juga boleh merebak kepada mengekori dan seterusnya menimbulkan rasa takut dan terancam kepada mangsa.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.