Siakap Keli
Imej Kredit: Bernama

Rakyat Pahang Tak Sabar Menanti Detik Pemasyhuran Agong Baharu

Rata-rata rakyat Pahang yang ditemui mengakui tidak sabar menanti tanggal 31 Jan ini untuk menyaksikan detik raja yang disayangi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Jafariazlin-Kamal Jamil, 51, berkata istiadat yang bakal diadakan pada Khamis depan itu mengulangi saat beliau menyaksikan istiadat pemasyhuran Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah menjadi YDPA ketujuh 40 tahun lalu.

“Sebagai rakyat Pahang, sudah tentu rasa gembira dan walaupun saya tidak pernah menemui baginda secara dekat, namun tetap rasa dekat di hati kerana selalu menyaksikan Sultan Abdullah mencemar duli bertemu rakyat dan menghulur bantuan.

“Rakan-rakan juga sering bercerita tentang perkara itu dan melihatkan keperibadian baginda, saya yakin rakyat negara ini akan aman sentosa di bawah naungan Sultan Abdullah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Bagi Raihan Ramly, 33, pekerjaannya sebagai pengurus di sebuah pusat perubatan di sini membolehkannya berinteraksi secara lebih dekat dengan baginda sekeluarga yang sering mendapatkan rawatan di situ sejak 2003.

“Bagi saya,  baginda sekeluarga sangat merendah diri dan berperwatakan seperti orang kebanyakan tanpa perlu formaliti dan protokol ketika berurusan.

“Sikap baginda dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mesra dengan rakyat menyebabkan rakyat hormat dan cukup disenangi serta menjadi kesayangan rakyat,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan Raihan yang berasal dari Kelantan dan telah menetap di negeri ini selama 13 tahun, berasa bangga untuk mengakui dirinya sebagai sebahagian daripada rakyat negeri ini.

Sementara itu, Norlida Ali, 55, turut berasa bangga dengan pelantikan baginda walaupun beliau berasal dari Johor.

“Saya tetap berasa bangga dengan pelantikan ini walaupun sebelum ini ada mendengar Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  turut menjadi antara calon untuk YDPA.

“Tunku Azizah merupakan orang Johor, jadi walaupun Sultan Johor tidak dilantik pada pelantikan kali ini, namun kita sebagai rakyat Johor tumpang gembira.

“Negeri mana yang dipilih, kita sebagai rakyat tetap akan menerima sepenuhnya tambahan pula keperibadian baginda berdua yang terkenal dengan sifat merendah diri dan mementingkan rakyat dikenali semua rakyat di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra