Siakap Keli
BERNAMA

Kerajaan Dijangka Bentang Usul Mansuh Akta Hasutan

SANDAKAN, 26 Jan (Bernama) — Kerajaan dijangka membentangkan usul bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948 pada sidang Dewan Rakyat Mac ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Beliau berkata, apabila akta itu dimansuhkan, kerajaan akan memperkenalkan akta baharu.

“Saya sebagai menteri yang menjaga hal undang-undang telah mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa berkaitan daripada semua kementerian dan keputusan telah dibuat untuk mengkaji dan memansuhkan Akta Hasutan dan diganti dengan satu akta baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program persembahan tarian naga, unikorn dan singa anjuran Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan di sini hari ini.

Liew menjelaskan bahawa di bawah akta sedia ada, definisi perkataan hasutan adalah luas dan boleh disalah ertikan.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk memansuhkan hukuman mati, beliau berkata kerajaan masih menunggu pandangan semua kementerian dan mengambil kira impak kepada masyarakat, khususnya perasaan anggota keluarga pesalah yang berdepan hukuman itu.

Beliau turut memaklumkan kerajaan belum mendapat sokongan majoriti dua pertiga daripada anggota Dewan Rakyat bagi membolehkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk melanjutkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun.

“Setakat ini, Pakatan Harapan ada 115 anggota daripada 222 anggota dalam Dewan Rakyat . Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 148 anggota (daripada 222) untuk menyokong pindaan tersebut.

“Sekiranya ada sokongan daripada pihak pembangkang, pindaan terhadap perlembagaan boleh dibuat,” katanya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hakim boleh berkhidmat sehingga berumur 66 tahun dan enam bulan.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.