Siakap Keli

”Ayah, Saya Sanggup Tukar Dengan Nyawa Saya, Asalkan Ayah…” Karangan Anak Untuk Ayah Ini Buat Ramai Tersentuh

“Ayah, saya sanggup tukar dengan nyawa saya asalkan ayah sanggup letakkan telefon. Saya sayang ayah sangat,” begitulah bait kata-kata yang diluahkan oleh seorang kanak-kanak dalam bentuk karangan yang menyentuh emosi semua yang membacanya.

Karangan berkenaan yang dikongsikan di laman sosial Weibo oleh guru di  Sekolah Antarabangsa Luoyang di daerah Luoyang, Beijing China menjadi viral di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, karangan yang bertajuk ”Ayah, saya mahu beritahu kamu,” itu dihasilkan oleh pelajar lelaki berusia sembilan tahun yang dikenali sebagai Xiaozhi.

Ditulis dengan penuh perasaan, Xiaozhi menggambarkan ayahnya sebagai seorang yang suka bermain telefon bimbit hingga dia merasa seperti kehilangan kasih sayang.

“Ayah, setiap kali saya minta ayah untuk periksakan kerja sekolah saya, ayah hanya tengok sekali imbas dan berkata ‘tidak teruk, sekarang pergi bermain’.

“Selebihnya lagi ayah akan beri saya telefon jadi saya boleh turut bermain sama,” tulis pelajar itu.

Gambar : The Straits Times

“Ayah, apa yang saya mahukan bukan sebuah rumah yang dipenuhi dengan makanan ringan, telefon bimbit paling mahal mahupun mainan paling berkualiti.

“Apa yang saya mahu, hanyalah ayah boleh meletakkan telefon dan  bermain dengan  saya. Itulah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup saya.”

Guru pelajar lelaki itu yang hanya dikenali Zhao berkata, Xiaozhi merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah dan menjadi juara olahraga dalam kelasnya.

Dia yang sangat tersentuh dengan penulisan jujur dan bakat menulis yang dimiliki anak muridnya itu, memberikan markah penuh kepada karangan yang ditulis oleh Xiaozhi dalam peperiksaan akhir tahun.

Ketika ditemui media, ibu Xiaozhi berkata suaminya merupakan pengguna tegar telefon bimbit kerana dia banyak menggunakannya untuk bekerja atau selepas kerja dan sesekali bermain permainan untuk santai dan berehat.

“Sebelum ini kami tidak berfikir menggunakan telefon bimbit sepanjang hari akan menimbulkan isu malah langsung tidak sedar anak ini sangat sensitif,” ujar ibunya.

Karangan itu ternyata memberi kesan yang postif kepada keluarga mereka kerana ibu bapanya baru mengetahui apa yang dipendamkan Xiaozhi selama ini. Kata ibunya lagi, setelah membaca karangan tersebut, suaminya merasa bersalah dan berjanji akan meluangkan masa bersama anaknya.

Ramai netizen yang terharu dengan karangan kanak-kanak itu namun ada yang menyatakan bahawa ayahnya tidak boleh disalahkan sepenuhnya.

”Selalu terdapat dua sisi cerita dalam satu kisah. Saya menjana pendapatan melalui telefon. Tanpanya, saya tidak mempunyai duit untuk makan,” kata seoarang netizen.

Sumber : The Straits Times

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.