Siakap Keli
1mdb masuk ke akaun peribadi najib
Gambar : Bernama

Najib Didakwa Lagi Atas 3 Tuduhan Pengubahan Wang Haram RM47 Juta

Kuala Lumpur : Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini didakwa lagi di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.

Najib, 66, yang bersut biru, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tambahan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes Najib yang sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Bagi tiga pertuduhan tambahan itu, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Anggota Parlimen Pekan, Pahang itu turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan pindaan pecah amanah dana SRC International  itu dan tiga pertuduhan pindaan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram dikemukakan terhadap tertuduh.

“Pihak pendakwaan juga telah mengemukakan pindaan terhadap tiga pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dihadapi tertuduh dan tiga pertuduhahan pindaan membabitkan pengubahan wang haram,” katanya.

Mohamad Hanafiah berkata pihak pendakwaan mengeluarkan perkataan ‘RM4 billion’ daripada ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Najib dan bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, perkataan ‘2001’ ditambah bagi setiap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.