Siakap Keli

66,000 Ketua Isi Rumah Terima Rebat Bil Elektrik RM40

Kira-kira 66,600 ketua isi rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih dan tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar telah menerima bantuan rebat elektrik berjumlah RM40 sebulan di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 bermula 1 Jan lepas, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, katanya data kementerian menunjukkan 142,200 ketua isi rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih namun masih belum berdaftar dengan syarikat utiliti iaitu Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atau Sarawak Energy Bhd (SEB).

“Selepas mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan Tahun 2016, kita menyasarkan seramai 208,800 ketua isi rumah e-Kasih akan menerima bantuan ini agar bantuan subsidi itu diagihkan secara bersasar.

“Kerajaan amat berprihatin dan komited dalam usaha untuk meringankan beban sara hidup rakyat melalui Belanjawan 2019,” katanya dalam sidang media berhubung maklumat terkini program rebat bil elektrik RM40 di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan untuk menaikkan kadar subsidi bil elektrik kepada RM40 sebulan berbanding RM20 sebelum ini, yang membabitkan peruntukan RM140 juta.

Yeo berkata pendaftaran penerima rebat kurang daripada sasaran adalah kerana ketua isi rumah e-Kasih tidak mempunyai nombor akaun bil elektrik di mana bil itu didaftar atas nama ahli keluarga lain, dan mungkin juga tinggal di rumah sewa di mana bil elektrik adalah di atas nama tuan rumah.

“Saya menggesa mereka yang layak untuk segera mendaftar nombor akaun bil elektrik mereka di mana-mana cawangan TNB, SESB atau SEB berdekatan. Saya juga menyeru semua wakil rakyat untuk bersikap proaktif dengan turun padang dan bantu ketua isi rumah yang layak untuk membuat pendaftaran,” katanya.

Pengguna boleh membuat semakan untuk kelayakan eKasih dan kelayakan menerima bantuan rebat bil elektrik di portal MESTECC https://semakanrebat.mestecc.gov.my atau menghubungi My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000.

Yeo berkata peruntukan belanjawan sebelum ini diagihkan secara automatik kepada semua bil elektrik bawah RM20 tanpa mengira pendapatan bulanan atau warganegara penerimanya, dan akibatnya, hanya satu pertiga dari peruntukan itu diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

“Sebelum ini, subsidi RM20 ini hanya diberikan kepada bil di bawah RM20 dan sekiranya bil elektrik warga miskin melebihi RM20, mereka perlu membayar sepenuhnya bil tersebut. Subsidi ini berbeza dengan mekanisme lama di mana rebat sepenuhnya sehingga RM40 diberikan kepada mereka yang layak.

“Contohnya, sekiranya seseorang itu layak untuk rebat RM40 dan bil elektrik berjumlah RM45, mereka hanya perlu membayar RM5 sahaja,” katanya, sambil menambah program rebat RM40 itu membolehkan golongan sasaran menggunakan peralatan elektrik asas seperti lampu, kipas, televisyen dan peti ais tanpa bebanan bil elektrik.

Yeo juga menegaskan bahawa Program Subsidi Elektrik Rebat RM40 adalah penambahbaikan daripada Program Subsidi Elektrik RM20 yang dilaksanakan selama 10 tahun yang lepas, dan penjimatan melalui agihan subsidi bersasar itu akan disalurkan kepada program bantuan lain.

Tanpa mendedahkan butiran, beliau berkata program bantuan itu akan diumumkan pada suku kedua tahun ini.

— BERNAMA

Nur Farra