Siakap Keli
Gambar Hiasan

Jururawat Ini Kongsi 7 Tips Penting Jagaan Tali Pusat Bayi Sebelum Tanggal Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Menyambut kelahiran cahaya mata adalah momen-momen indah yang akan kekal terpahat dalam sanubari setiap ibu bapa. Tambah-tambah jika itu adalah cahaya mata pertama, keriangan dalam hati memang tidak boleh digambarkan.

Senyuman sentiasa terukir pada wajah siibu dan siayah. Bagaimanapun, untuk menjadi ibu bapa banyak perkara perlu diambil tahu terlebih dahulu. Kata orang, ilmu keibubapaan sangat wajar didalami sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi, antaranya cara menguruskan tali pusat bayi sebelum tanggal.

Bagaiamana caranya? Bagi menjawab persoalan tersebut kami bawakan perkongsian daripada jururawat, Bel Nawhen di bawah. Semoga bermanfaat.

Jagaan tali pusat bayi sebelum tanggal.

Setiap bayi yang lahir, sebelumnya mempunyai tali pusat yang bersambung dengan placenta.

Bayi menerima makanan dan oksigen melalui placenta yang melekat di dinding rahim.

Setelah melahirkan, tali pusat dan juga placenta tidak diperlukan lagi. Lalu, tali pusat seterusnya akan dipotong dan tali pusat yang tertinggal ini harus dijaga dan dirawat.

Tali pusat bayi baru lahir akan mengambil masa antara tiga hingga 10 hari untuk luruh dengan sendirinya.

Ikuti langkah-langkah betul menguruskan tali pusat bayi anda bagi mengelakkan anak daripada mengalami sebarang jangkitan kuman pada pusat.

1. SENTIASA BERSIH

Bersihkan bahagian pusat setiap ki selepas mandi atau menukar lampin. Dengan cara ini, anda akan membantu mengeringkan bahagian dasarnya dan mempercepatkan proses tali pusat luruh.

2. KAPAS BERSIH

Sentiasa menggunakan kapas yang bersih dan dibasahkan sedikit dengan air bersih atau cecair dibekalkan hospital/klinik apabila hendak membersihkan kawasan sekeliling pusat bayi.

3. PASTIKAN KERING

Selepas membersihkan pusat, ambil sebiji lagi kapas dan sapu kering di bahagian sekeliling pusat yang dibersihkan tadi.

4. JANGAN TUTUP

Elakkan memakaikan lampin sehingga menutup bahagian pusat bayi yang belum luruh kerana ia akan menyebabkan pusat menjadi lembap dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Kawasan tersebut perlu sentiasa kering dan bersih sepanjang masa.

5. JANGAN RENDAM DALAM AIR

Oleh kerana tali pusat mengambil masa seminggu lebih untuk luruh maka sepanjang tempoh tersebut, anda mesti mengelakkan daripada memandikan bayi dengan cara merendam keseluruhan badannya di dalam air.

Gunakan kaedah mengelap atau mengalirkan air sahaja supaya air tidak masuk ke dalam bahagian pusat bayi.

6. TANDA JANGKITAN

Perhatikan tanda jangkitan pada tali pusat bayi seperti:

– Bayi demam tinggi
– Kemerahan
– Nanah keluar dari tali pusat
– Bengkak luar biasa sekitar tali pusat.
– Bau yang kurang enak pada tali pusat dan sekitar pusat.

Jangkitan pada tali pusat boleh membahayakan nyawa bayi jika lewat dirawat kerana kuman dikhuatiri akan menjangkit ke organ sekitar dan merebak hingga ke dalam salur darah.

Segera ke klinik kesihatan terdekat jika terdapat tanda seperti tersebut bukannya upload dalam mana-mana group untuk bertanya-tanya.

7. Pastikan pampers ditukar segera apabila lembab atau anak membuang air. Dikhuatiri najis akan terkena tali pusat dan mencemarkannya.

Jangan tarik tali pusat bila tali pusat tu hampir tertanggal, boleh menyebabkan pendarahan pd tali pusat. Biarkan tali pusat jatuh sendiri.

Jangan sapu minyak gamat atau apa jenis minyak sapu selain dibekalkan hospital.

Jangan sapu bedak atau losyen di kawasan tali pusat. Bedak TIDAk membantu mengeringkan tali pusat.

Notakaki:

Sekali lagi saya pesan, lengkapkan ilmu keibu bapaan sebelum menimang cahaya mata. Kelak anda mudah dikemudian hari dan tidak dikecam.

#BelNawhen
#SayaJururawat

Kredit: Bel Nawhen

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.