Siakap Keli
Gambar : Bernama

”Kali Terakhir Bertemu Ketika Dia Datang Hantar Kad Kahwin,” Rakan Mangsa

Kuala Lumpur : “Kali terakhir saya bertemu dengan arwah ialah pada 13 Jan ketika dia datang ke pejabat saya di Putrajaya untuk hantar kad jemputan kahwin,” kata rakan kepada Norwahidah Abdul Hamid yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang semalam.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata Norwahidah yang datang seorang diri kelihatan gembira seperti biasa dan beredar sebaik memberikan kad jemputan kenduri kahwinnya itu.

“Itulah kali terakhir saya jumpa Norwahidah…saya tahu berita mengenai kematiannya daripada kawan melalui aplikasi WhatsApp pada 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui sumber di Bilik Forensik Hospital Serdang, di sini, malam ini.

Norwahidah, 28, dari Perlis dan Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dari Terengganu meninggal dunia dalam kebakaran rumah teres setingkat itu semalam. Pasangan itu dijadual mengadakan majlis kenduri perkahwinan mereka di Kangar, Perlis pada 2 Feb dan di Besut, Terengganu pada 6 Feb.

Kad-kad jemputan untuk majlis itu yang belum sempat diedar turut dijumpai dalam rumah yang terbakar itu.

Polis hari ini mengkalifikasi semula kes itu sebagai kes bunuh berdasarkan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala Norwahidah.

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa keadaan rumah mangsa yang terbakar di Taman Desa Vista – Bernama

Kedua-dua mangsa adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Sementara itu, Abdul Hamid yang turut berada di bilik forensik menunggu bedah siasat ke atas anak perempuannya itu selesai, berkata jenazah Norwahidah akan dikebumikan di kampung halaman di Kangar, Perlis.

“Jenazah anak saya akan dibawa pulang pada 10 malam ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut dan kelihatan masih terkejut dengan kejadian itu.

Sebahagian anggota keluarga mangsa menunggu jenazah sepasang suami isteri di hadapan perkarangan Unit Forensik Hospital Serdang hari ini – Bernama

Seorang pegawai JPN yang ditemui berkata JPN menyediakan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi mengiringi kenderaan jenazah yang dibawa pulang ke Felda Tenang Besut Terengganu dan Kangar, Perlis.

Seorang rakan Wan Mohamad Baharul Nizam pula memberitahu sumber bahawa kali terakhir dia bertemu rakan karibnya itu ialah pada bulan Ramadan tahun lepas bersama lima lagi rakan sekolah selepas solat Terawih.

Mohd Syaiful Ikhwan Mohamad Esa, 35, yang tinggal di Kuala Besut, Terengganu berkata arwah merupakan sahabat paling rapat dengannya ketika bersekolah di Sekolah Teknik Besut dan mereka juga bersama-sama melanjutkan pelajaran dalam aliran Sijil Automotif di Politeknik Dungun.

“Bagaimanapun kami jarang bertemu selepas sibuk bekerja tapi jika arwah pulang ke kampung, pasti dia akan menghubungi saya untuk berjumpa walaupun susah untuk berjumpa kerana kekangan masa,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Jenazah Wan Mohd Baharul Nizam telah dituntut dan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Besut, Terengganu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.