Siakap Keli

Tiada Tawaran Diskauan Untuk Saman JPJ – Menteri Pengangkutan

Dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap  menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya ambil ringan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 sempena Tahun Baru Cina di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah selatan di sini hari ini.

Beliau yang tidak kisah sekiranya pendekatan sedemikan menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna jalan raya, berkata : “Hendak marah Menteri Pengangkutan pun marahlah. Tugas saya ialah untuk kurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya.”

Loke berkata beliau juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

Antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan.

Mengenai Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bermula hari ini sehingga 12 Feb, Loke berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan 10,000 pegawai dan anggota penguatkuasa yang terdiri seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 merangkumi empat program utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian.

— BERNAMA

Nur Farra