Siakap Keli

Pahang Isytihar 31 Januari Cuti Peristiwa Sempena Pertabalan Agong

Pahang mengisytiharkan 31 Januari 2019 sebagai cuti peristiwa bersempena Istiadat Melafaz Dan Menanda Tangani Surat Sumpah Jawatan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy melalui akaun rasmi milik beliau.

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR PAHANG

Bersempena dengan Istiadat Melafaz Dan Menanda Tangani Surat Sumpah Jawatan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur Esok, Khamis, 31 Januari 2019 Bersamaan 25 Jamadilawal 1440 Hijrah,

Setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, maka dengan ini saya mengumumkan cuti peristiwa selama sehari pada tarikh yang sama, Khamis, 31 Januari 2019.

Cuti peristiwa ini diberi memandangkan tarikh ini merupakan tarikh yang penuh bersejarah kepada negeri dan seluruh rakyat-jelata di Negeri Pahang ini, dengan perlantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Sukacita saya ingin mengajak para penjawat awam sekalian khususnya, agar dapat hadir beramai-ramai ke pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, pada kira-kira jam 7 pagi hari yang sama bersempena Istiadat Memuliakan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Mulia Tengku Ampuan Pahang, ke Kuala Lumpur.

Nur Farra