Siakap Keli

Reriang Mungkin Punca Pokok Petai ‘Menangis’ – Pemanjat Pokok

Kota Bahru : Kejadian aneh pokok petai ‘menangis’ di Kampung Petani, Sering di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini, mungkin berpunca daripada serangga reriang, kata seorang pemanjat pokok yang telah cuba memanjat pokok petai setinggi 30m itu untuk mencari kepastian punca kejadian.

Tan Syamsul Tuan Kechik, 31, penduduk kampung di situ berkata beliau telah memanjat pokok petai itu dan menemui serangga berkenaan dalam jumlah yang banyak, yang membuatkan beliau yakin kejadian pelik itu berpunca daripada serangga tersebut.

“Sebaik saya cuba memanjat pokok berkenaan tiba-tiba sahaja reriang berterbangan dari batang pokok tersebut. Ia sesuatu yang aneh kerana sebelum ini serangga tersebut tidak kelihatan mungkin kerana warnanya yang sama dengan batang pokok.

“Bagaimanapun, penduduk kampung berharap agar pihak berkaitan dapat menjalankan siasatan ataupun kajian berhubung perkara tersebut agar ia dapat disahkan,” katanya kepada sumber di sini, malam tadi.

Tinjauan sumber malam tadi turut menemui serangga itu berterbangan dari pokok petai itu ketika Tan Syamsul cuba memanjat pokok tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roziah Abdullah, 30, terkilan dengan tindakan segelintir pengguna media sosial yang mempersendakan kejadian yang berlaku di kampung tersebut sejak minggu lepas.

“Sebagai orang biasa, kami memang tidak tahu punca fenomena ini berlaku kerana ini adalah kali pertama berlaku di kampung ini.

“Pada masa sama, tiada sebarang perkara syirik dilakukan kerana kebanyakan penduduk yang datang hanya mahu melihat sahaja dan tidak pernah mempercayai pokok ini mampu menyembuhkan penyakit tertentu,” katanya.

Semalam, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dipetik sebagai menyeru masyarakat di negeri ini agar tidak terlalu taksub dengan kejadian aneh seperti pokok boleh merembas air kerana dibimbangi boleh terjerumus kepada syirik.

Beliau turut dilaporkan sebagai berkata apabila terlalu taksub sehingga percaya kejadian aneh mampu mendatangkan kebaikan atau menolak keburukan boleh dianggap  syirik kecil atau syirik tersembunyi sekali gus boleh merosakan akidah umat Islam.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.