Siakap Keli

Bahaya ‘Sindrom Patah Hati’ Boleh Berakhir Dengan Kematian Jika Tak Dirawat

Patah hati biasanya muncul bila kita mempunyai masalah dalam perhubungan atau kehilangan orang tersayang. Setiap hari dilalui dengan perasaan sedih, rasa kecewa dan terluka. Terlalu sakit untuk digambarkan. Siapa yang pernah berada dalam situasi ini pasti tahu bagaimana rasanya perasaan patah hati yang ‘membunuh’ dalam diam.

Namun, ternyata sakitnya patah hati ini bukanlah sekadar ungkapan. Jangan terkejut, kerana menurut kajian, ‘sindrom patah hati’ adalah satu masalah kesihatan yang akan memberi kesan kecederaan pada jantung. Lebih parah, sekiranya tidak dirawat boleh membawa kematian.

Untuk lebih jelas, jom kita ikuti perkongsian daripada TheDiagnosa seperti di bawah. Khas untuk anda yang mengalami patah hati yang teruk, janganlah terus bersedih. Tetap kuat dan tabahlah meneruskan hidup. Semoga bermanfaat.

Sindrom Patah Hati yang juga dikenali sebagai Takotsubo Cardiomyopathyadalah satu masalah kesihatan yang mirip dengan serangan jantung dan selalunya berpunca daripada perasaan sedih dan kecewa yang amat kuat. Golongan wanita merupakan golongan yang selalunya mendapat serangan ini.

Nama takotsubo berasal dari perkataan jepun, yang membawa maksud “ perangkap sotong “. Keadaan ini mula-mula ditemui oleh Dr. Hikaru Sato pada tahun 1991. Menurut Dr. Hikaru Sato, jantung pesakit menunjukkan pembesaran yang abnormal di sebelah kiri ventrikel jantung. Ia menyerupai sebuah balang yang biasanya digunakan untuk menangkap sotong oleh masyarakat jepun.

Pesakit selalunya akan mengalami tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada yang teruk dan sesak nafas. Penyiasatan rutin yang dilakukan di hospital untuk mengesan serangan jantung seperti penyiasatan Electrocardiogram (ECG) dan ujian darah akan menjadi positif.

Namun setelah penyiasatan lebih lanjut seperti angiogram, echocardiogram, magnetic resonance imaging (MRI) dilakukan, tiada sebarang penyumbatan pada salur darah jantung dikesan yang mana penyumbatan salur sarah adalah penyebab utama serangan jantung yang biasa.

Selain itu, menerusi sejarah pesakit yang diambil oleh doktor selalunya mendapati pesakit sedang mengalami tekanan emosi yang kuat akibat masalah seperti putus cinta dan kematian orang tersayang. Melalui penyiasatan-penyiasatan yang dijalankan dan riwayat yang diambil dari pesakit, barulah masalah ini dapat disahkan sebagai sindrom patah hati.

Negara Jepun telah melaporkan sindrom ini ke negara barat pada tahun 2001 dengan nama lain iaitu Transient Left Ventricular Apical Ballooning.

Patogenesis bagi masalah ini masih lagi belum dapat dipastikan secara jelas. Namun, terdapat beberapa kajian telah dilakukan dan salah satunya menyatakan bahawa tindakan saraf simpatetik yang keterlaluan akibat faktor penggalak seperti tekanan emosi yang kuat dan kehadiran hormon Catecholamines seperti adrenaline dan dopamine yang berlebihan menyebabkan kecederaan otot jantung (myocardium).

Prognosis bagi masalah ini adalah baik dimana kebanyakan pesakit dilaporkan telah berjaya disembuhkan. Namun, sekiranya tidak diberi rawatan awal yang sepatutnya, Sindrom Patah Hati ini mampu membunuh anda kerana ianya melibatkan kecederaan jantung yang sudah pastinya sangat berbahaya.

Oleh itu, sekiranya anda baru sahaja ditinggalkan kekasih hati, janganlah terlalu bersedih kerana ibarat pepatah orang lama ; bunga bukan sekuntum, kumbang pula bukan seekor. Begitu juga halnya bagi perkara lain yang merunsingkan anda, ingatlah bahawa setiap musibah itu punya hikmah tersembunyi.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Sumber : TheDiagnosa

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di