Siakap Keli
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melambai tangan kepada rakyat jelata sebelum menaiki pesawat pada Istiadat Memuliakan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Pekarangan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuantan hari ini. Pasangan diraja itu akan menuju ke ibu negara bagi menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong susulan pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), 24 Januari lalu. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Demi Sultan Abdullah, Rakyat Tempuh Perjalanan 150KM

Kuantan : Seawal 4 pagi, Afiq Haikal Mohd Nazeri dan 10 rakannya sanggup menempuh perjalanan hampir 150km untuk ke Pangkalan Udara Kuantan di sini bagi melihat sendiri satu  peristiwa yang bakal tercatat dalam sejarah negara.

Afiq Haikal, 21, dan rakan-rakannya itu yang tinggal di Kuala Krau, Temerloh membuat keputusan untuk bersama-sama rakyat Pahang yang lain mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke ibu negara untuk menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

“Kami berpakat untuk berkongsi duit minyak dan bayaran tol. Nasib baik ada rakan boleh meminjamkan van milik keluarganya walaupun keputusan untuk ke sini dibuat lewat malam tadi. Kami rasakan perlu untuk meraikan keberangkatan tuanku kerana baginda sering mencemar duli ke kampung kami semasa banjir. Sekurang-kurangnya ini yang termampu kami lakukan untuk menghargai baginda,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Afiq Haikal antara ribuan rakyat Pahang yang berhimpun di Pangkalan Udara Kuantan seawal 6 pagi bagi meraikan keberangkatan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Abdullah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, berlepas ke ibu negara untuk istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara.

Gambar : Bernama

Sementara itu, dua murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Galing di sini M. Kishore dan Karl Esqandar Khalid berkata mereka mula berkumpul di sekolah pada pukul 6.30 pagi untuk menaiki bas ke Pangkalan Udara K   uantan.

Kishore, 12, berkata beliau bangun seawal pukul 5 pagi dan meminta supaya dihantar ke sekolah lebih awal kerana bimbang ketinggalan bas.

“Cikgu kata peristiwa seperti ini bukan selalu berlaku dan hanya mereka yang bertuah sahaja boleh menyaksikan istiadat keberangkatan Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa ini kali pertama saya melihat Sultan Abdullah secara live (langsung),” katanya.

Bagi ahli perniagaan Ashok Sinnathamby, 40, pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 amat membanggakan rakyat Pahang dan berharap baginda dapat menjalankan tugas baharu dengan cemerlang.

Menurutnya, walaupun berasa bangga namun pada masa yang sama komuniti India di Pahang berasa sayu kerana baginda memang dikenali sangat rapat dengan komuniti India di negeri ini.

“Sultan Abdullah sangat terbuka dalam pergaulannya dengan semua kaum. Baginda juga sering hadir ke majlis dan upacara tradisional kaum India di sini,” katanya.

Shaiful Anuar, 41, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar Kuantan berkata beliau dan 39 pelajar telah hadir seawal 6 pagi lagi bagi menunjukkan sokongan kepada Sultan Abdullah.

“Pada masa yang sama kita mahu menerap semangat cintakan negara dan institusi beraja dalam kalangan pelajar-pelajar supaya budaya ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu di Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota di sini, murid sekolah dan penduduk dari kawasan berhampiran tidak ketinggalan berada di luar perkarangan istana berkenaan untuk mengucapkan selamat berangkat kepada pasangan diraja yang sememangnya disayangi rakyat Pahang.

Bagi Nazrolfazri Mahmod, 40, dari Taman Astana Permai, Indera Mahkota, walaupun merasa bangga dengan pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, namun tetap terselit perasaan sayu apabila selepas ini tiada lagi kelibat Sultan Abdullah menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Imam Ash-Shafie Kotasas.

“Pukul 6.30 pagi lagi saya sudah sampai untuk ucap selamat tinggal kepada tuanku. Sultan Abdullah merupakan seorang yang rendah diri, dan rajin menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran dengan istana baginda, selain bertanggungjawab serta prihatin dengan masyarakat setempat menyebabkan Sultan Abdullah amat dihormati oleh rakyat.

“Pagi tadi tuanku semasa berangkat meninggalkan Istana Abdulaziz, baginda sempat melambai dan berkata ‘bye-bye’ kepada kami yang menunggu di luar istana, tetapi sayangnya saya pula terlupa ingin mengambil gambar detik berkenaan,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.