Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kanak-Kanak 12 Tahun Tak Sedar Hamil Anak Abang Tiri Sendiri Berusia 14 Tahun

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun disahkan hamil anak hasil perhubungan dengan abang tirinya yang berusia 14 tahun, dalam kejadian yang berlaku di Australia.

Kanak-kanak yang tidak didedahkan namanya itu dilaporkan melahirkan bayi di Perth awal bulan ini sebelum dipindahkan ke Hospital Memorial Raja Edward bersama-sama dengan bayinya.

Menurut petugas kesihatan yang membantu proses kelahiran bayi tersebut, kanak-kanak berkenaan dikatakan tidak mengetahui bahawa dirinya hamil sehinggalah saatnya melahirkan bayi tersebut.

Polis dalam satu kenyataan memberitahu bahawa keutamaan mereka ketika ini adalah mengenai keselamatan dan kesihatan si ibu serta bayi yang dilahirkannya.

”Ini adalah satu hal yang sulit dan sensitif, bagaimanapun kami memberi keutamaan terhadap sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak ini.

”Siasatan tetap dijalankan dan jabatan kebajikan akan menjadi pihak yang menguruskan mereka berdua” kata jurucakap polis, Chris Dawson.

Abang tiri mangsa sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara memandangkan mereka berdua adalah kanak-kanak dibawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut dijangka tidak akan berhadapan dengan sebarang pertuduhan.

Sumber daripada kerajaan juga memaklumkan bahawa insiden berkenaan sebagai perkara yang rumit lagi menyedihkan, malah ahli keluarga juga enggan memberi sebarang komen kerana masih berada dalam keadaan tertekan dengan insiden tersebut.

Sumber: Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.